Ilmu, kepakaran dan dakwah asas kekuatan akidah Islam

 

KOTA KINABALU: Kombinasi dan adunan keilmuan, kepakaran dan pendekatan dakwah yang pelbagai perlu sebagai asas kekuatan akidah Islam.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, golongan muda adalah tunggak kekuatan dalam segala aspek untuk menangani masalah yang mengancam kekuatan akidah Islam.

“Hikmah, ilmu, ihsan dan bersifat mendekati semua kelompok masyarakat oleh ulama, umara, ilmuan, pendidik dan golongan muda-mudi menjadi kekuatan kita dalam mendepani dan menangani isu-isu yang mengancam akidah umat Islam,” katanya ketika hadir merasmikan Penutupan Konvensyen Pembangunan Saudara Kita kali ke-11 Negeri Sabah mewakili Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif di Ming Garden Hotel, kelmarin.

Teks ucapannya disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Sabah, Junaidi Jumahat. Jelasnya lagi, umat Islam perlu terus menggilap rasa kecintaan dan keimanan terhadap hal keagamaan.

“Ambil kesempatan untuk berada dalam majlis ilmu, tambah pengetahuan keagamaan di dada kerana sesungguhnya, kita umpama berada di taman-taman syurga apabila kita berada dalam majlis mutiara ilmu yang nanti mampu menjadi bekalan kita menghadapi cabaran dunia,” jelasnya.

Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa cabaran yang dihadapi oleh golongan saudara baru (mualaf) untuk terus berada dalam landasan Islam adalah sangat besar dan kekuatan hati dalam menempuh dugaan adalah jaminan kepada memperoleh keredaan Allah.

“Hakikatnya saudara baru kita sememangnya berdepan cabaran besar apabila mereka memeluk agama Allah ini, mereka berdepan cemuhan dan pemulauan dari keluarga dan masyarakat terdekat.

“Cabaran sedemikian bukan sahaja dilalui oleh saudara baru kita di sini, bahkan cabaran keislaman sejak dulu telah dihadapi oleh para ambia kita untuk memperjuangkan penyebaran agama Islam,” katanya lagi.

Tambah beliau lagi, golongan saudara baru perlu terus kekal kuat dan mempunyai hati dan jiwa yang kental dengan sokongan daripada masyarakat serta pihak berkuasa.

“Saudara baru kita perlu terus kuat dan cekal bagi menghadapi segala liku-liku dugaan yang menguji keimanan ini dan pihak berkuasa juga wajar memainkan peranan untuk memberi sokongan dan bantuan kepada golongan istimewa ini,” katanya.- OLEH NOOR ZAFIRA SHAFIE

 
By :
 
New Sabah Times