Masalah paip usang, rosak perlu ditangani segera: Ronald

 

OLEH JAMES LEONG

BELURAN: Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mahu masalah paip usang di daerah Beluran dan kerosakan pam air di Loji Rawatan Air Beluran perlu ditangani segera oleh Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

Menurutnya tindakan sementara iaitu menggantikan paip pecah seperti yang dilakukan oleh jabatan itu selama ini tidak lagi membantu kerana hampir kesemua paip sudah tua dan usang.

Katanya, paip-paip generasi pertama iaitu paip yang diguna ketika loji pertama dibuat perlu diganti.

“Saya difahamkan, loji kedua di Beluran yang mampu mengeluarkan lapan juta liter air sehari tidak akan dimanfaatkan penduduk jika paip agihan tidak dibaiki,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata bekalan air di Kampung Muanad 1 telah terputus sejak dua minggu lepas disebabkan paip pecah yang dikatakan sebagai punca masalah tidak dibaiki oleh jabatan itu di Beluran.

Katanya, sebelum air dapat diagih seperti sediakala kini sebuah pam air di loji rawatan Beluran dikatakan rosak dan tidak berfungsi.

Ronald berkata ini menyebabkan Jabatan Air Negeri Sabah bertindak untuk melaksanakan catuan bermula hari ini. Beliau berkata masalah ini meresahkan penduduk kerana menyulitkan kehidupan hampir keseluruhan penduduk Pekan Beluran.

“Aduan daripada penduduk terjejas, tahap kesabaran mereka diperingkat kritikal.

“Tindakan penyelesaian berkekalan perlu diambil oleh Jabatan Air Negeri Sabah. Selama ini tindakan membaiki mana-mana kerosakan yang diambil tidak lagi berkesan dan memerlukan tindakan jangka masa panjang,” katanya.

Justeru, Ronald meminta Pengarah jabatan itu mengutamakan penyelesaian bekalan air di daerah ini khususnya di kawasan Pekan Beluran.

 
By :
 
New Sabah Times