Tarian kebudayaan suku kaum Sabah pelbagai dan unik

 

Negeri Sabah adalah sebuah negeri yang kaya dengan tarian kebudayaannya. Pada kebiasaannya tarian kebudayaan ini dapat disaksikan pada hari perayaan seperti Pesta Kaamatan dan Sabah Fest.

Kedua-dua perayaan ini menyajikan pelbagai tarian kebudayaan. Denggan adanya perayaan ini, ramai pelancong dari luar datang ke negeri ini. Antara tarian kebudayaan yang biasanya kita saksikan ialah tarian sumazau, tarian daling-daling, tarian magunatip, tarian limbai, tarian mongigol sumandai, tarian adai-adai, tarian igal-igal, tarian kuda pasu dan banyak lagi.

Tarian sumazau ialah tarian dari suku kaum Kadazandusun dari Penampang. Tarian ini ditarikan semasa upacara ritual ataupun majlis keramaian seperti perkahwinan. Tarian ini ditarikan dengan gerak seolah-olah seekor helang sedang terbang. Sambil menari, sekali-sekala dengan suara yang nyaring, penari akan melebarkan kedua-dua tangan.

Tarian daling-daling pula merupakan tarian kegembiraan yang sangat popular di kalangan masyarakat Bajau dan Suluk di daerah Semporna. Biasanya tarian ini dipersembahkan oleh beberapa pasangan penari perempuan dan lelaki dalam majlis perkahwinan ataupun upacara keramaian lain di daerah Pantai Timur.

Tarian ini diiringi oleh puisi mengenai cinta, kehidupan dan kebahagiaan. Puisi ini dinyanyikan dengan irama lagu yang berulang. Kadang-kala lirik lagu yang mengandungi unsur-unsur jenaka dan cerita-cerita pendek disampaikan secara spontan.

Lain pula dengan tarian mengunatip. Tarian ini ditarikan di kalangan penduduk tempatan di pedalaman Sabah termasuk suku kaum Kadazandusun di Tambunan, suku kaum Kujiau di Keningau dan kebanyakan suku kaum Murut.

Semasa tarian ini ditarikan, beberapa pasang bambu panjang akan dihentak dan diketuk pada lantai mengikut rentak sementara para penari akan melompat masuk dan keluar di antara ruang hentakan bambu tanpa tersepit kaki. Tarian yang bertenaga dan menghiburkan ini biasanya ditarikan semasa majlis-majlis keramaian di kampung ataupun pada majlis keramaian yang lain.

Tarian lmbai pula merupakan tarian suku kaum Bajau yang menetap di Kota Belud di bahagian Pantai Barat Sabah. Ia ditarikan semasa menyambut ketibaan pengantin lelaki ke rumah pengantin perempuan dalam pesta keramaian yang lain. Tarian ini ditarikan oleh tiga hingga empat pasangan penari dan bercirikan gerakan lenggokan tangan penari yang lemah lembut.

Tarian mongigol sumandai juga merupakan tarian popular di kalangan masyarakat Rungus yang menetap di daerah Kudat dan Kota Marudu. Tarian ini ditarikan sama ada di majlis keramaian ataupun sebagai ritual, lazimnya tarian ini ditarikan ritual untuk menghormati bambarayon, iaitu semangat padi. Tarian ini ditarikan mengikut gerak seekor naga yang diketuai oleh penari lelaki yang seolah-olah kepala naga, manakala badannya pula terdiri daripada penari-penari perempuan.

Tarian adai-adai juga yang biasanya ditarikan oleh masyarakat Brunei yang menetap di daerah Sipitang yang biasanya ditarikan semasa majlis keramaian seperti perkahwinan dan majlis sosial yang lain yang diadakan di kampung dan ditarikan oleh pasangan lelaki dan perempuan.

Tarian ini menggambarkan aktiviti dan kehidupan nelayan serta petani. Penari akan berpakaian tradisi dan kadang-kala menggunakan alat-alat seperti bakul dan jala semasa menari.

 
By :
 
New Sabah Times