MAPIM berperanan penting pupuk kesedaran ibu bapa bergiat dalam persatuan

 

OLEH MARRYAN RAZAN

KOTA KINABALU: Mimbar Permuafakatan Ibubapa Malaysia (MAPIM) berperanan penting memupuk kesedaran akan pentingnya ibu bapa melibatkan diri dan bergiat aktif dalam persatuan.

Ketua Menteri Tan Sri Musa Haji Aman berkata, ia penting memandangkan ramai ibu bapa masa kini tidak dapat menyertai mana-mana persatuan seperti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) disebabkan kesibukan tugas dan komitmen dalam pekerjaan.

“Justeru itu, MAPIM, boleh memainkan peranan dalam memupuk kesedaran akan pentingnya untuk ibu bapa melibatkan diri seterusnya bergiat secara aktif dalam persatuan atau pertubuhan untuk faedah bersama,” katanya. Beliau berkata demikian dalam teks ucapan sempena Majlis Makan Malam Bersama Ahli-Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) MAPIM Kebangsaan serta ahli Jawatankuasa Kerja Negeri MAPIM Negeri Sabah, di Hotel Tang Dynasty, di sini, pada malam Selesa.

Teks ucapannya disampaikan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad. Musa berkata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti MAPIM Negeri turut berperanan penting sebagai platform terbaik berganding bahu dan bekerjasama dengan kerajaan dalam melaksanakan program- program berkaitan kemasyarakatan.

“Ia juga dapat membantu kerajaan dalam menjamin keharmonian sosial masyarakat yang kerap berhadapan dengan cabaran gejala social, isu-isu berkaitan pelajar dan remaja yang merupakan aset negara pada masa hadapan.

“Saya percaya MAPIM yang dianggotai pelbagai latar belakang profesion, berupaya menggembleng kekuatan dan kelebihan untuk bersama- sama dengan kerajaan menjayakan pelbagai dasar dan program.

“Ini termasuk aspek pembangunan modal insan, pemupukan semangat keibubapaan dan pembinaan keluarga bahagia dan sejahtera,” katanya.

Musa turut memuji usaha MAPIM Kebangsaan dan MAPIM Negeri yang sentiasa bergerak aktif mengadakan pelbagai program bermanfaat untuk masyarakat.

“Saya percaya dengan adanya semangat dan komitmen yang tinggi ini, matlamat pertubuhan ini dan program- program yang dilaksanakan dapat dijayakan sepenuhnya,” katanya.

Turut hadir Presiden MAPIM Malaysia Datuk Dr. Haji Aziz Ujang, Timbalan Presiden MAPIM Malaysia Haji Ayob Mohamad dan Yang Dipertua (YDP) MAPIM Negeri Sabah Haji Ottoh Sibik.

 
By : MARRYAN RAZAN
 
New Sabah Times