Mayat lelaki hampir putus leher ditemui

 

TAWAU: Mayat lelaki dalam keadaan terlentang dengan kepala hampir terputus dan pergelangan tangan kiri telah putus ditemui berada dalam gaung kira-kira lapan meter berhampiran bekas tapak rumah kongsi Ladang Sawit Felda Umas 01 di sini.

Mayat lelaki berkenaan ditemui seorang peneroka felda yang terhidu bau busuk di kawasan kejadian lalu menemui satu mayat kira-kira jam 8 malam sebelum memaklumkan kepada anggota Polis Bantuan Felda Umas.

Anggota polis bantuan berkenaan kemudian memaklumkan kepada Balai Polis Kalabakan kira-kira jam 8.30 malam pada Rabu dan bertindak atas maklumat itu sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau telah ke tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah, ACP Fadil Marsus yang mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi berkata mayat berkenaan ditemui di dalam gaung kawasan belukar berdekatan tapak rumah kongsi iaitu kira-kira 150 meter dari jalan utama.

Menurutnya, berhampiran lokasi mayat terdapat kesan darah serta kesan seretan darah sejauh kira-kira 70 meter dijumpai dari tempat mayat tersebut serta turut ditemui gigi dipercayai milik mayat berkenaan.

“Identiti mayat tidak dapat dikenalpasti kerana wajahnya telah reput dan berulat serta pemeriksaan ke atas mayat juga tidak menjumpai sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya.

Fadil berkata kejadian itu dipercayai berlaku lebih 48 jam antara 7 Disember sehingga 9 Disember berdasarkan ulat yang terdapat pada mayat.

Jelasnya, unit K9 turut serta di tempat kejadian namun tidak menemui sebarang petunjuk dengan mayat telah dihantar ke Hospital Tawau untuk bedah siasat.

Kes katanya disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dengan tiada senjata ditemui dan juga tiada tangkapan dilakukan setakat ini. -OLEH NAZRINI BADARUN (nazrini@newsabahtimes.com.my)

 
By : OLEH NAZRINI BADARUN
 
New Sabah Times