SMK Pantai anjur Kursus Menangani Stress Tempat Kerja

 

LABUAN: SMK Pantai IB World School dengan kerjasama Hospital Labuan telah menganjurkan Kursus Menangani Stress di Tempat Kerja yang diadakan di dewan sekolah itu, pada Khamis.

Pengetua SMK Pantai IB World School, Sahar Misron berkata, seramai 80 warga sekolah yang melibatkan guru dan kakitangan sokongan menyertai program sehari itu.

Antara pengisian utama program itu ialah ceramah berkaitan pengurusan stress, saringan kesihatan fizikal dan mental di samping berpeluang berkongsi pengalaman dengan doktor pakar yang mengendalikan kursus tersebut.

“Melalui kursus ini, kita berharap para guru dan juga kakitangan sekolahakan dapat memastikan tahap kesediaan warga sekolah pada tahap yang tinggi untuk memastikan kualiti kerja pada tahap yang terbaik khususnya dalam mendidik anak-anak SMK Pantai” katanya kepada New Sabah Times.

Kursus tersebut telah dikendalikan oleh seorang doktor pakar dibantu oleh tiga pegawai perubatan.

Mereka terdiri daripada Dr Ng Boon Seng dari Klinik Pakar Psikiatrik Hospital Labuan, manakala tiga pegawai perubatan masing-masing Dr. Fatin Zulaikha Kamarudin, Ag. Mohd Syazwie dan Felicicity Leja Ak Bunya John.

Sementara itu, Sahar turut mengucapkan terima kasih kepada Pengarah Hospital Labuan, Dr Adnan Musa Bledram kerana memberikan sokongan padu dalam menjayakan kursus tersebut sambil berharap hubungan baik antara sekolah dengan pihak hospital akan terus terjalin. -OLEH JAINUDIN DJIMIN

 
By :
 
New Sabah Times