DADAH: POLIS TEMBAK MATI LELAKI, TAHAN 17 INDIVIDU

 

OLEH NAZRINI BADARUN

TAWAU: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah aktif di daerah ini selepas menembak mati seorang lelaki dan menahan 17 individu iaitu sembilan lelaki serta lapan wanita berusia 18 hingga 33 tahun dalam Ops Khas.

Ketua Polis Daerah, ACP Fadil Marsus berkata, operasi diketuainya sendiri bersama sepasukan anggota telah mengekori sebuah kenderaan jenis Perodua Avanza dinaiki suspek kira-kira jam 11.40 malam pada Khamis.

Menurutnya, apabila suspek menyedari kenderaan polis, suspek berusia 35 tahun itu telah bertindak memecut kenderaan sehingga terbabas ke kiri bahu berdekatan Jalan Cowie Bay.

“Semasa usaha menangkap suspek dilakukan suspek enggan bekerjasama dan bertindak agresif mengakibatkan pergelutan dan suspek bertindak mengeluarkan sebilah pisau diselit di pinggang kirinya dan cuba menikam polis.

“Dengan jarak kurang satu meter, pihak polis telah melepaskan dua das tembakan ke arah dada suspek menyebabkan suspek rebah dan mati di tempat kejadian,” katanya ketika sidang media.

Fadil berkata, pemeriksaan awal mendapati terdapat dua kesan tembakan di bahagian kiri dada suspek, sebilah pisau serta dua kelongsong peluru ditemui berhampiran tempat suspek terbaring.

“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai Mykad dan hanya terdapat sekeping lesen memandu L atas nama Mattarasah Atta, sekeping Mykad atas nama Muin Muhlis yang dipercayai digunakan suspek,” katanya.

Beliau berkata pemeriksaan di dalam kenderaan suspek menemui satu beg plastik berwarna hijau mengandungi satu paket plastik lutsinar berisi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dipercayai seberat 164.88 gram. Selain itu turut ditemui katanya, sebuah telefon bimbit jenis Samsung Note 2, sebilah samurai bersarung berukuran 34 inci dan sebilah parang berukuran 20 inci.

“Semakan terhadap kenderaan digunakan suspek didapati atas nama Shahrir Tamring beralamat di Lahad Datu,” katanya.

Semakan ke atas suspek memiliki empat kes kesalahan lampau iaitu dua kes merusuh di Penampang pada tahun 2014 dan 2015, satu kes narkotik di Tawau pada 2013 dan kes kesalahan jenayah kekerasan pada 2014.

Fadil berkata susulan daripada kes itu pihaknya turut menahan sembilan lelaki dan lapan wanita dalam empat tangkapan berasingan awal pagi kelmarin di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tangkapan pertama seorang wanita berusia 20 tahun di bandar Fajar kira-kira jam 4.15 pagi dan tangkapan kedua tiga wanita dan dua lelaki kira-kira jam 4.34 pagi di sebuah rumah di Taman Cynthia, Jalan Chong Thien Vun. Manakala tangkapan ketiga menahan enam lelaki dan tiga wanita dilakukan hasil serbuan di sebuah restoran Jalan Kuhara kira-kira jam 5.01 pagi.

Tangkapan keempat pula dilakukan pada jam 5.07 pagi di sebuah rumah Taman Dingin, Jalan Apas yang menahan seorang lelaki dan wanita.

Turut dirampas sebuah alat pembungkus plastik digunakan untuk membungkus dadah di sebuah premis bangunan Tawau Lama, Jalan Apas Batu 3.

 
By :
 
New Sabah Times