Kerjasama sosio ekonomi antara Kalimantan Utara, Sabah akan terus dipertingkat

 

KOTA KINABALU: Kerjasama sosio ekonomi yang melibatkan bidang kesihatan, belia dan sukan serta keselamatan di antara Kalimantan Utara dan Sabah akan terus dipertingkatkan.

Gabenor Kalimantan Utara, Dr. H. Irianto Lambrie berkata, antara bidang lain yang disepakati bersama adalah bidang ekonomi dan aktiviti perdagangan di sempadan kedua-dua negara.

“Kita sudah punyai kerjasama setiap tahun apabila ada pertemuan antara delegasi Kalimantan Utara dan Negeri Sabah.

“Kita juga membincangkan perdagangan di sempadan seperti yang disepakati kedua-dua negeri sejak tahun 1970.

“Perjanjian perdagangan itu akan diperbaharui agar kerjasama ini saling menguntungkan, memperkuatkan dan membangun untuk kedamaian kedua-dua negara,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang Dipertua Negeri, Tun Dr. Haji Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, pagi kelmarin.

Menurut beliau, tujuan kunjungan hormat itu untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala di samping saling bertukar informasi mengenai keadaan dan kegiatan yang berlaku di sempadan kedua-dua negara.

Tambah Irianto, sebagai sebuah provinsi ke-34 yang baru dirasmikan oleh pemerintahan Indonesia empat tahun lalu, pihaknya berterima kasih kepada Tun Juhar dan berharap hubungan persahabatan antara kedua-duanya akan terus ditingkatkan.

Hadir sama, Konsulat Jeneral Republika Indonesia Kota Kinabalu, Akhmad Daya Handasah Irfan.

 
By :
 
New Sabah Times