Isu bekalan air di Ranau bakal diatasi dalam masa terdekat, kata Masidi

 

OLEH ADUKA JASNIN SUMAN

RANAU: Pengumuman projek bekalan air Ranau merupakan satu cadangan yang telahpun diperakui oleh kerajaan negeri untuk tujuan mendapatkan dana segera daripada kerajaan pusat.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, sekiranya projek dicadangkan kerajaan negeri ini memperolehi dana segera daripada kerajaan pusat, ia bakal mengatasi isu bekalan air bersih di sini dalam masa terdekat.

”Membekalkan air terawat dan bersih adalah keutamaan kita di sini, kerana ia merupakan keperluan asas yang sangat penting,” katanya ketika diminta mengulas rungutan pengguna yang mendakwa bekalan air yang ada masa ini tidak lagi bersih dan sering terputus.

Ketika ditanya tentang cadangan pihak berkenaan untuk mengambil air Sungai Nakamura yang terletak di Ulu Sungai Mamut, Masidi berkata cadangan tersebut sesuai memandangkan air sungai berkenaan bersih dan jernih.

”Sungai berkenaan juga tidak terjejas ketika gempa bumi yang melanda Sabah khususnya Ranau yang berlaku pada 5 Jun 2015 selain selamat daripada sebarang pencemaran,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Wakil Rakyat Karanaan menjelaskan para pengguna air terawat kendalian Jabatan Air Bahagian Ranau tidak perlu risau kerana tahap kualiti kebersihan air yang dibekalkan masa kini sentiasa dipantau dan diteliti untuk keselamatan pengguna.

Banjir lumpur yang berlaku membabitkan Sungai Liwagu dan Sungai Bambangan ekoran daripada gempa bumi kira-kira dua tahun lepas telah menyebabkan bekalan air khususnya air terawat di daerah ini terjejas teruk. Selama ini, Sungai Liwagu dan Sungai Bambangan telah dijadikan sebagai ‘Water Intake’ untuk membekalkan air terawat kepada puluhan ribu pengguna di daerah Ranau.

 
By : ADUKA JASNIN SUMAN.
 
New Sabah Times