Belia l-bandar digesa rebut peluang teroka perusahaan madu lebah kelulut

 

TAWAU: Golongan belia luar bandar diseru merebut peluang meneroka perusahaan madu lebah kelulut yang menjana pendapatan lumayan ekoran permintaan tinggi masyarakat terhadap khasiatnya.

Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah, Datuk Hamisa Samat berkata golongan belia perlu berani mencuba dan tidak mudah berputus asa mencapai kejayaan.

Menurutnya, penyertaan golongan belia luar bandar dalam pelbagai sektor ekonomi desa melalui agroteknologi dan agrobisnis mampu menggalakan mereka terus kekal di kampung tanpa perlu berhijrah ke bandar.

“Golongan belia perlu merebut peluang yang ada dengan menjadikan diri lebih berdaya saing dan maju melalui pelbagai program dan kursus yang disedia pelbagai pihak untuk manfaat diri keseluruhan,” katanya.

Beliau yang juga wakil rakyat Tanjong Batu berkata demikian pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil Kursus Penanaman Secara Fertigasi dan Penternakan Lebah Kelulut di sini kelmarin.

Sehubungan itu katanya pelaksanaan program My Kampung My Future (MKMF) dengan pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bukan sahaja dapat membangun kampung malah memaksimumkan pengunaan sumber semua pihak.

Program di bawah NBOS MKMF Kg. Merotai Besar itu telah dilaksana selama dua hari disertai 64 belia dianjurkan MARDI dengan kerjasama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kalabakan dan Tawau, FAMA Tawau serta Jabatan Pertanian.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha pelbagai pihak menganjurkan program yang dapat membantu belia mencari pekerjaan dan menjana pendapatan diri serta keluarga.

“Melalui kursus yang dianjurkan peserta akan mendapat pendedahan mengenai teknologi yang boleh digunapakai untuk memajukan pertanian, penternakan atau perniagaan yang sedang dijalankan,” katanya.

Malah katanya pelbagai maklumat akan diperolehi melalui penyertaan dalam kursus termasuk kemudahan pinjaman kewangan yang boleh dipohon bagi membesarkan perusahaan yang dijalankan.

“Para belia rebut peluang yang disediakan kerajaan, kita juga ada pelbagai kemudahan kewangan yang disediakan termasuk AgroBank, Tekun Nasional dan lain-lain,” katanya lagi.

Turut hadir pada majlis itu Pengarah MARDI Sabah, Sadi Sujang. -OLEH NAZRINI BADARUN

 
By : NAZRINI BADARUN
 
New Sabah Times