SMKA Tun Said Kota Belud janji persembahan terbaik di Pertandingan Sketsa Rukun Negara 1Malaysia

 

KOTA MARUDU: Wakil Bahagian Pantai Barat Utara, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Said, Kota Belud menjanjikan persembahan terbaik di pertandingan akhir Pertandingan Sketsa Rukun Negara 1Malaysia pada 25 April nanti.

Guru Pembimbing sekolah berkenaan, Zulhariszuan Abdul Manan berkata, pihaknya akan membuat persiapan rapi bagi persediaan persembahan di peringkat akhir nanti.

”Kami akan berlatih dan memantapkan lagi teknik lakonan dan skrip pada hari ini untuk pertandingan akhir nanti.

“Bagi persembahan hari ini, kami telah mengambil masa selama tiga minggu untuk memastikan peserta yang terlibat bersedia membuat persembahan.

”Memang ada banyak cabaran yang kami lalui sepanjang persediaan ke sini antaranya pemilihan peserta yang telah dibuat sebanyak tiga kali dan perubahan skrip sebanyak lima kali.

”Walau bagaimanapun, para pelajar telah menunjukkan bakat mereka yang sebenar dan inilah yang kita katakan pembelajaran abad ke-21, bukan hanya terbentuk di dalam kelas tetapi di luar kelas,” jelasnya.

Tambah Zulhariszuan, program anjuran Jabatan PeneranganNegeri (Japen) Sabah bukan sahaja dapat meningkatkan pengetahuan para pelajar tetapi dapat mendidik dan menyerap tentang erti perpaduan, kemerdekaan, kewarganegaraan dan seterusnya erti menjadi rakyat Malaysia kepada anak remaja dan para pelajar secara tidak langsung.

Mewakili rakan-rakannya, Mohd Akmal Abd Aziz, 15, bersyukur dan gembira kerana telah dinobatkan sebagai johan pertandingan dan Mara ke peringkat akhir.

”Berbaloi rasanya penat lelah kami berlatih tiga jam setiap hari selama tiga minggu ini.Bukan itu sahaja kami juga dilatih untuk menyediakan skrip sketsa persembahan kami sendiri dengan bimbingan Cikgu Zulhariszuan.

”Memang agak sukar, tetapi pengalaman tersebut sangat bermakna dan akan digandakan lagi untuk bergelar johan pertandingan pada peringkat negeri nanti,”ujarnya gembira.

Sementara itu, pelajar Tingkatan Dua, Dzrul Azieqri Sabron, 14, berkata perkara yang paling sukar untuk dilaksanakan sepanjang latihan adalah penghayatan wataknya sebagai remaja berketurunan India.

”Memang mencabar untuk melakonkan watak tersebut kerana terpaksa mengulangnya berkali-kali sehingga Guru pembimbing kami berpuas hati. Mencabar kerana saya tidak mempunyai rakan dan tiada jiran-jiran yang berketurunan India untuk dijadikan rujukan.

”Walau bagaimanapun, saya mengambil inisiatif dengan menonton watak Jarjit Singh dalam Upin & Ipin di You Tube, walau pun Jarjit berketurunan Sikh, ia sedikit sebanyak dapat memberi panduan dari segi gaya bahasa dan mewujudkan watak seorang remaja India yang agak kurang beradab tetapi kelakar dengan mesej-mesej tersirat,” jelasnya kepada pemberita.

Selain Mohd Akmal dan Dzrul, Kumpulan SMKA Tun Said turut dianggotai oleh Mohd Daniel Syafiq Norjali, 15, Amira Farhana Jamal, 16 dan Sakila Absar, 16, mempersembahkan sketsa bertajuk ‘Perpaduan Asas Keharmonian’.

Terdahulu, Pengetua SMK Kota Marudu, Faridah Raimin berkata setiap peserta pertandingan perlu menghayati prinsip-prinsip rukun Negara sewaktu melakonkan watak masing-masing di pentas.

”Buat yang terbaik dan hayatilah prinsip atau persembahan kerana setiap dialog, rasa perlu di terapkan dalam diri untuk kepuasan berlakon dan pemahaman mereka yang menonton.

”Jangan hanya menjadikan Rukun Negara setakat mainan di bibir sahaja, setiap warganegara terutamanya pelajar-pelajar sekolah perlulah menghayati makna elemen-elemen yang terkandung dalam setiap Rukun Negara tersebut,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.

Naib johan pertandingan berkenaan dimenangi oleh SMK Kota Marudu dengan sketsa berjudul ‘Rukun Negara’ manakala SMK Tandek mendapat tempat ketiga dengan tajuk sketsa ‘Tragedi 13 Mei dan Pengistiharan Rukun Negara’ dan masing-masing membawa pulang wang tunai dan sijil penyertaan.

Hadir sama di pertandingan tersebut adalah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat.

Japen Sabah, Wasrin Jakaria; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Visual dan Senireka Japen Sabah, Iskandar Ismail dan Pegawai Penerangan Bahagian Pantai Barat Utara JapenSabah, Durahim Jaman.

 
By :
 
New Sabah Times