Perintah berkurung di kawasan ESSZONE dilanjut hingga 6 Mei

 

SANDAKAN: Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang berakhir hari ini (Khamis) dilanjutkan pada hingga 6 Mei 2017, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din.

“Perintah berkurung siri 63 berakhir hari ini (Khamis) pada pukul 6 petang dan perintah berkurung siri 64 akan dilanjutkan lagi hingga 6 Mei,” kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan, di sini, kelmarin.

Beliau berkata pelanjutan perintah berkurung ini adalah memandangkan tindakan tersebut dilihat begitu berkesan dalam mengekang isu-isu penculikan dan keganasan di Pantai Timur Sabah.

Jelas beliau, usaha itu akan diteruskan lagi sehingga keselamatan dan keamanan telah terjamin.

“Dilihat sepanjang tahun ini, tidak berlaku sebarang insiden keganasan mahupun penculikan di kawasan berkenaan dan usaha ini akan diteruskan lagi sehinggalah keselamatan dan keamanan telah terjamin,” katanya.

Bagi perkembangan lain, beliau akan melihat kembali dan memberi arahan lanjut tentang perintah berkurung yang bermula 3 batu nautika dari persisiran pantai.

Beliau mengarahkan supaya pasukan penguatkuasa tidak mengambil tindakan terhadap nelayan-nelayan persisiran pantai yang keluar 3 batu nautika ke pantai.

“Saya akan melihat kembali dan memberi arahan lanjut tentang perintah berkurung yang bermula 3 batu nautika dari persisiran pantai.

“Saya akan arahkan dan tidak membenarkan pasukan penguatkuasa mengambil tindakan terhadap nelayan- nelayan persisiran pantai yang keluar 3 batu nautika ke pantai dan ini akan dikuatkuasakan.

“Perintah berkurung tersebut meliputi daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran,” katanya lagi. – OLEH ALIZA ALAWI

 
By : ALIZA ALAWI
 
New Sabah Times