Kementerian akan bantu MDR naik taraf Taman Tugu Sabah 100 Tahun

 

RANAU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah akan membantu Majlis Daerah Ranau (MDR) menaik taraf Taman Tugu Sabah 100 Tahun yang terletak di tengah-tengah pekan di sini.

Menterinya, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, cadangan tersebut kini dalam peringkat perbincangan antara kementeriannya dengan pihak MDR.

”Taman ini akan dinaik taraf secara berperingkat dan untuk fasa pertama kementerian akan membantu MDR menaik taraf pentas sedia ada dan membina bumbung dengan reka bentuk yang sesuai.

”Kedudukannya yang strategi berpotensi sebagai sebahagian destinasi serta daya tarikan pelancong yang datang atau singgah di pekan Ranau terutama pada hujung minggu,”katanya.

Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karanaan berkata demikian kepada media ketika beliau berkunjung ke taman itu sempena program Santai Mingguan Bersama Belia pada Sabtu lepas.

Masidi optimis, sekiranya taman tersebut diurus dengan baik disamping pengisian aktiviti yang pelbagai dan menarik pada setiap minggu ia mampu menarik lebih ramai pengunjung.

”Bila ramai pengunjung datang, suasana akan lebih meriah dan para peniaga yang membuka gerai jualan dan pameran di taman itu turut mendapat manfaat,” ujar beliau.

Program setiap Sabtu dan Ahad dengan konsep santai di taman itu telah diilhamkan Jawatankuasa Kemasyarakatan Dalam Bandar (JKDB) dan kini menjadi tumpuan warga tempatan dan pengunjung luar yang singgah di pekan Ranau. – OLEH ADUKA JASNIN SUMAN

 
By : ADUKA JASNIN SUMAN.
 
New Sabah Times