50 saudara baru jayakan Bengkel Mualaf Pusat Islam, Universiti Malaysia Sabah

 

KOTA KINABALU: Pusat Islam, Universiti Malaysia Sabah (PIUMS) berjaya menganjurkan bengkel Mualaf/Saudara Baru Siri 1/2017 bertempat di Masjid UMS baru-baru ini.

Menurut Penyelaras Program, Ainah Ramlan Angusa, bengkel sehari itu bertujuan memberikan pendedahan tentang budaya hidup penganut agama Islam serta mengeratkan silaturahim antara saudara baru dari Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) dan mualaf.

“Harapan saya pada masa akan datang program seumpama ini akan dibuat lagi bagi memberikan pengisian rohani yang mantap kepada saudara baru sama ada daripada warga UMS sendiri dan juga masyarakat luar,” katanya.

Bengkel tersebut melibatkan tiga penceramah yang terdiri daripada Pensyarah Kanan, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW), Issraq Hj. Ramli yang menyampaikan ceramah bertajuk ‘Akhlak Seorang Muslim’; Pengarah PIUMS, Prof. Madya Dr. Muhamad Suhaimi Taat dengan tajuk ceramah ‘Indahnya Akidah Islam’ dan Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Md Razali Saibin dengan ceramah ‘Indahnya Hidup Bersyariat’.

Antara peserta bengkel yang hadir ialah pasangan suami isteri Rinduh Lian, 66 tahun dan Gontuk Sidup, 63 tahun dari Kampung Maringking, Tenghilan yang baru 7 bulan menjadi saudara baru.

“Saya sangat gembira kerana dapat menghadiri bengkel ini bersama suami saya. Kami dapat bersama-sama menimba ilmu dan belajar perkara-perkara yang patut dilakukan oleh seorang Muslim,” kata Rinduh ketika ditemui media.

Bengkel itu disertai 50 saudara baru dari Hidayah Centre, Teratak Fitrah, Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA) Sabah, warga UMS dan masyarakat sekitar UMS.

Bengkel berakhir dengan penyampaian sijil kepada semua peserta oleh Md. Razali Saibin.

 
By :
 
New Sabah Times