Warga emas rentung dalam kebakaran

 

RANAU:Seorang lelaki warga emas rentung dalam kebakaran yang memusnahkan seratus peratus rumahnya di Kampung Betong Karagasan di sini kira-kira 89 kilometer daripada pekan Ranau pada awal pagi kelmarin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau,Jimmy Lagung yang mengesahkan kejadian itu memberitahu,mangsa yang dikenali sebagai Bangkawat Ingkaran,81, ditemukan rentung sepasukan anggota bomba dalam kejadian kira-kira jam 1.00 pagi itu.

“Mangsa dipercayai sedang tidur dalam rumah jenis sementara berkeluasan 20×20 ketika kejadian berlaku. Punca sebenar kebakaran sedang dalam siasatan,” katanya kepada media.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, dua buah keluarga tinggal sehalai sepinggang selepas rumah didiami mereka di Kampung Pahu,kira-kira 50 kilometer daripada pekan hangus dalam kebakaran yang berlaku pada Selasa.

Menurut Jimmy,pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam12.03 tengah hari seterusnya menggegaskan dua buah jentera ke lokasi kejadian dengan kekuatan anggota seramai tujuh orang diketuai PBK II,Mahmud Jumah.

“Sejurus tiba di lokasi kira-kira jam12.50 tengah hari,anggota bomba mendapati dua buah rumah jenis separuh kekal sudah hangus seratus peratus dalam kejadian kira-kira jam12.00 tengah hari itu.

“Anggota bomba mengawal dan memadam api menggunakan dua aliran dan tiga pancutan melalui sumber air daripada jentera. Api berjaya dipadam sepenuhnya jam 01.20 petang dan operasi tamat jam 02.35 petang,” jelas Jimmy.

Tambahnya, dalam insiden itu, tiada kemalangan jiwa berlaku manakala punca sebenar kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. -OLEH ADUKA JASNIN SUMAN.

 
By : ADUKA JASNIN SUMAN.
 
New Sabah Times