Pesta Kalimaran disambut Julai ini, kata Rubin

 

KENINGAU: Pesta Kalimaran Peringkat Negeri 2017, akan disambut pada bulan Julai ini di Pusat Rumah Kebudayaan Murut kampung Pulong Tenom, kata Presiden Persatuan Murut Sabah Datuk Rubin Balang.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Pesta Kalimaran Peringkat Daerah Keningau 2017, di kampung Limbawan pada Sabtu lalu.

Katanya, pesta itu bertujuan untuk menghimpunkan kesemua etnik suku kaum Murut untuk mengetengahkan dan mempamerkan kebudayaan adat resam kaum etnik Murut kepada masyarakat luar khususnya para pelancong dari luar negeri.

“Menerusi pesta ini, kita juga mengharapkan agar dapat membuka mata generasi hari ini dan juga generasi akan datang khususnya anak muda yang berbangsa Murut agar tidak pernah melupakan asal usul mereka serta identiti mereka agar tidak lapuk ditelan zaman,” Katanya.

Menurutnya, bagi memelihara identiti suku kaum ini, pelbagai inisiatif telah rancang dan sedang dilaksanakan. Antaranya adalah pembelajaran bahasa Murut yang mana telah pun dimulakan sejak beberapa tahun yang lepas untuk generasi etnik Murut mempelajari seterusnya mendalami bahasa ibunda peninggalan nenek moyang yang terdahulu.

Pada pesta itu, Rubin yang juga Adun Kemabong turut merakamkan jutaan terima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana telah memberikan peruntukan khas kepada Biro Pendidikan Bahasa Murut yang diketuai oleh Senator, Datuk Dr. Lucas Umbul yang mana telah mempelopori pengajaran bahasa ibunda suku kaum Murut.

Hadir sama pada pesta itu, Adun Liawan Datuk Haji Sairin Haji Karno, Adun Nabawan Datuk Bobbey Ahfang Suan, Tokoh Veteran Murut, Tan Sri RM Jasni, Tokoh Veteran Murut Tan Sri Sufian Koroh, Datuk Kadoh Agundong, dan Pengerusi Penganjur Pesta Kalimaran Peringkat Daerah Keningau 2017 Rosdi Razali. -OLEH RAZEEF RAHMAN

 
By : RAZEEF RAHMAN
 
New Sabah Times