Bank Negara perlu pastikan skim biaya mikro efisien

 

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia perlu memainkan peranan lebih efektif dalam memastikan keberkesanan skim pembiayaan pinjaman mikro sebagai langkah membendung gejala ceti haram atau ‘Ah Long.’

Pengerusi Jawatankuasa tetap Pen-yelidikan dan Penerbitan Yayasan Pen-cegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Datuk Dr Denison Jayasooria berkata sistem pinjaman mikro itu perlu dikaji dengan lebih teliti bagi memastikan kelulusan dapat dibuat dengan kadar segera.

“Banyak aduan yang diterima membabitkan Ah Long disebabkan kegagalan mendapatkan pinjaman dalam tempoh yang singkat, ini menyebabkan mereka terpaksa mengambil tindakan drastik dengan meminjam daripada ceti haram,” katanya.

Perkara itu antara keputusan yang dicapai dalam perbincangan meja bulat mengenai Ceti Haram atau Along dan Pencegahan Jenayah di sini kelmarin.

Perbincangan itu disertai oleh wakil Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Suruhanjaya Hak Asasi Ma-nusia, Biro Aduan MCA, Polis Diraja Malaysia serta Bank Negara.

Dr Denison berkata ramai yang masih tidak mengetahui tentang pinjaman mikro yang disediakan Bank Negara terutamanya peniaga kecil.

Beliau berkata perkara lain yang turut dibangkitkan ialah mewujudkan pusat sehenti bagi menyediakan khidmat nasihat kepada peminjam yang bermasalah dengan Ah Long.

“Ia sebagai tempat untuk peminjam yang diancam Ah Long menyalurkan masalah mereka bagi mengelakkan mereka mengambil tindakan yang tidak wajar seperti membunuh diri,” katanya.

Beliau berkata Persatuan Syarikat Peminjam Wang Berlesen juga perlu memainkan peranan lebih aktif bagi membolehkan masyarakat mengetahui tentang khidmat yang mereka sediakan.

Sehingga kini terdapat 3,000 institusi peminjam berlesen seluruh negara dan hanya 1,200 sahaja yang berdaftar dengan persatuan.

Dr Denison berkata kempen ke-sedaran juga perlu dipergiatkan terutama di peringkat sekolah untuk memberi pendedahan tentang cara-cara pengurusan kewangan perbelanjaan yang betul.

Beliau berkata -semua saranan dalam perbincangan meja bulat itu akan didokumentasikan dan akan diserahkan kepada pejabat Perdana Menteri, Ibu pejabat Polis dan kementerian berkaitan.

 
By : Bernama
 
New Sabah Times