Gara-gara curi tabung berisi RM1, warga asing dipenjara tiga tahun, denda

 

OLEH ALIZA ALAWI (alawi.aliza@gmail.com)

SANDAKAN: Gara-gara mencuri tabung yang hanya berisi RM1 seorang lelaki warga asing dipenjara tiga tahun serta denda RM5,000 dan diusir oleh Mahkamah Majistret, di sini pada Khamis kerana mencuri.

Majistret Faelly Jeffery Lanjungan, menjatuhkan hukuman itu kepada Abu Huraira bin Razak, 27 tahun kerana telah memecah masuk dan mencuri tabung berisi RM1 di sebuah restoran di Bandar Indah, Batu 4 Sandakan pada 15 September tahun ini.

Menurut fakta kes, Abu bertindak keluar dari rumah dan merayau di kawasan bandar itu dengan niat untuk memecah masuk dan mencuri di mana-mana kedai yang mudah untuk di pecah masuk.

Tertuduh yang melakukan jenayah itu secara bersendirian telah memasuki restoran berkenaan melalui pintu belakang dan berjaya disedari oleh salah seorang pekerja restoran tersebut.

Beliau sempat cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap oleh anggota Polis Ronda Cegah Jenayah unit bermotosikal pada tarikh yang sama kejadian.

Menurut hasil siasatan, lelaki asing berasal dari Filipina itu baru sahaja memasuki daerah ini sejak 12 September 2016 tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Dengan itu, Abu telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 457 kanun keseksaan.

Mahkamah mengarahkan hukuman bermula dari tarikh hukuman dijatuhkan dan penjara 12 bulan jika gagal membayar denda.

 
By : ALIZA ALAWI
 
New Sabah Times