Local
Business
Sports
Leisure
BM
Kadazan Dusun
EDUCATION
ECO
Archives
Latest News
 
Nst-studio
Three men held in house-breaking probe |  Sixty pct of PH manifesto promises fulfilled, says Lim |  Syarikat Pulau Buta Eco Tourism terima Pengiktirafan MaTEx |  KK boys on course to retain hockey gold |  Sports Development Blueprint next year |  TAED, a threat to Sabah’s iconic beach: Landscape architect |  Songulun kawagu nogompitan kinoligaganan id New Zealand noiduan ginawo di konihab |  Tolu kusai ginambit montok kasalaan minonoruang walai |  JBorneo 2019 mission accomplished |  Ziarah Ukhuwah RAY Tambunan ke Brunei Darussalam |  Bersatu cawangan Bangka Bangka jalin kerjasama dalam program Back To School |  200 pelajar dalam DUN Karanaan terima bantuan awal persekolahan |  Pejabat MOTAC dan Muzium Marin Labuan bakal ditutup? |  Bayi tiga bulan dari Tuaran dijangkiti virus polio |  Tiga pelancong China antara terlibat Program Voluntourism Underwater Cleanup di Pulau Bum-Bum | 
 BM

Semporna punyai potensi penyumbang ekonomi: Hajan

22nd September, 2016

OLEH: CLEOPHAS JOHN GORDON

DAERAH Semporna mempunyai potensi yang amat besar jika terdapat penyusunan dan pentadbiran semula sumber-sumber ekonomi di daerah tersebut.

Pengerusi Pembangunan, Perumahan dan Pertanian Semporna yang baru dilantik Datuk Hajan Haji Gurimbang dalam satu wawancara eksklusif bersama New Sabah Times berkata bahawa sistem pentadbiran yang sedia ada di Semporna harus dirombak semula.

“Semporna mempunyai potensi sebagai penyumbang ekonomi yang terbesar di Sabah ini tetapi jikalau tidak ada perubahan yang konkrit dapat dibuat, Semporna akan kekal sebagaimana ia sekarang,” Hajan berkata.

Beliau berkata bahawa pembangunan kemajuan Semporna terhindar atas beberapa faktor seperti masalah setinggan, kemudahan awam, keselamatan, kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) dan masalah sistem pelupusan sampah.

“Masalah setinggan itu boleh diselesaikan dengan memindahkan penduduk yang sedia ada ke kawasan baru dan kawasan setinggan asal itu boleh dimajukan sebagai pekan baru yang boleh dilengkapi dengan prasarana-prasarana awam untuk kemudahan rakyat.

“Antara kemudahan awam yang boleh dibina sekiranya kawasan setinggan itu dimajukan adalah sebuah jeti awam atau jeti pelancong yang boleh menghubungkan tanah besar dengan pulau-pulau di sekitar Semporna.

“Secara amnya, kebanyakan orang luar yang datang ke Semporna bertujuan untuk beriadah dan mereka ingin melancong ke pulau-pulau yang sudah terkenal di mata dunia sebagai kawasan pelancongan,” tambah beliau, sambil berkata bahawa pihak berkuasa tempatan haruslah mengkaji semula seandainya terdapat keperluan sedemikian.

Beliau turut berkata bahawa Pulau Sipadan yang merupakan salah sebuah pulau di Semporna sudah dikenali sebagai salah satu destinasi penyelaman yang terunggul di dunia.

“Pelancong luar misalnya dari China, Korea, Jepun, Taiwan dan negara-negara Eropah datang ke Semporna kerana mereka hendak ke pulau-pulau sedemikian dan pulau-pulau ini dapat menjana banyak hasil pendapatan kerana ia merupakan sumber ekonomi pelancongan.

“Seperti yang kita tahu, sumber pendapatan yang utama bagi Sabah adalah pelancongan dan jikalau pentadbiran Semporna dapat dimantapkan, lebih banyak pendapatan yang dapat dijana bagi kemajuan Semporna khasnya dan Sabah amnya,” beliau berkata.

Hajan turut berkata bahawa kemajuan industri pelancongan di Semporna juga dapat menjana pendapatan bagi penduduk-penduduk Semporna.

“Ramai penduduk Semporna bergiat sebagai usahawan dalam sektor pelancongan. Ada di antara mereka yang menjadi pengendali pelancong dan ada juga sebagai pemandu bot pelancong.

“Jika sistem pentadbiran Semporna dapat diperbaiki, lagi ramai orang, terutama pelancong dalam negeri akan mahu ke Semporna dan ini boleh membantu ekonomi setempat kerana dapat menyumbang kepada penjanaan pendapatan penduduk-penduduk sana,” kata beliau.

Beliau turut berkata bahawa masalah pelupusan sampah di Semporna juga harus diselesaikan sekiranya ingin kekal sebagai destinasi pelancongan.

“Jika orang yang datang ke Semporna datang melihat banyak sampah sarap, mereka akan memberitahunya kepada rakan-rakan mereka dan jika pandangan mereka terhadap Semporna adalah daerah yang kotor, pelancong mungkin tidak mahu melawat Semporna lagi dan ini boleh menyebabkan kekurangan sumber pendapatan dan menjatuhkan ekonomi setempat,” kata beliau lagi.

Beliau turut berkata bahawa agensi-agensi kerajaan juga dapat melihat potensi Semporna kerana FAMA akan mula beroperasi di Semporna bermula pada bulan hadapan.

“Ini telah pun diumumkan oleh pengerusi FAMA dan pengoperasian FAMA di Semporna akan member ruang kepada pekebun-pekebun kecil untuk bergiat secara lebih aktif dalam bidang pertanian.

“Mereka akan dapat menghasilkan produk-produk pertanian dan kelebihannya adalah mereka sendiri dapat menjual produk mereka tanpa melalui orang tengah kerana proses yang melalui orang tengah hanya akan mengurangkan keuntungan pekebun-pekebun kecil ini,” beliau berkata.

Beliau berkata kewujudan FAMA di Semporna adalah wajar kerana di pulau-pulau Semporna sudah wujudnya industri rumpai laut yang sangat berpotensi untuk dikembangkan.

“Jika FAMA dapat memajukan industri rumpai laut di Semporna, maka infrastruktur seperti jeti nelayan juga harus dibangunkan supaya para nelayan dan pengusaha rumpai laut dapat menggunakan kemudahan tersebut tanpa perlu berkongsi perkhidmatan dengan para pelancong mahupun para penduduk,” tambah beliau lagi.

Beliau turut meminta Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) supaya membuka cawangan di Semporna bagi membantu pihak peladang kecil kelapa sawit sekiranya mereka mengalami sebarang masalah.

Tambah beliau lagi, terdapat keperluan untuk meningkatkan jumlah perhentian bas di Semporna.

“Di Semporna, memang sudah wujud perkhidmatan bas dan van untuk kegunaan orang awam. Tetapi masalahnya sekarang, masih kurang perhentian bas dan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan bas dan van terpaksa menunggu bas di tepi jalan dan ini sangat tidak sesuai.

“Jika pelancong datang ke Semporna dan ingin menggunakan sistem perkhidmatan awam, dimanakah mereka hendak menunggu? Kita tidak boleh biarkan mereka menunggu di bawah matahari yang terik atau hujan.

“Rakyat Semporna pun akan mendapat manfaat sekiranya perhentian bas dibina kerana ia membawa satu keselesaan kepada mereka,” kata beliau lagi.

Hajan turut menggesa supaya Pulau Bum-Bum dapat dimajukan setaraf dengan Pulau Langkawi di Kedah atau Wilayah Persekutuan Labuan.

“Pulau Bum-Bum adalah sebuah pulau yang besar dan padat dengan penduduk. Memang terdapat banyak pulau lain di Semporna yang sudah menjadi destinasi pelancongan tetapi apa salahnya Pulau Bum-Bum dimajukan dengan industri-industri yang dapat memanfaatkan penduduk setempat?

“Kajian boleh dijalankan supaya dapat melihat kesesuaian industri perladangan atau pertanian untuk dimajukan di Pulau Bum-Bum.

“Malah, dari sektor pelancongan juga, Pulau Bum-Bum dapat dimajukan. Sekiranya terdapat infrastruktur yang bagus, orang ramai juga dapat melancong ke Pulau Bum-Bum.

“Contohnya setiap tahun, Regatta Lepa diadakan di Semporna. Namun, pesta sedemikian hanya dapat dinikmati pelancong sekali setiap tahun. Jika satu pusat Lepa dibina di Pulau Bum-Bum, orang ramai dapat melihat seni Lepa itu digiat dan dihasilkan dengan mata mereka sendiri sepanjang tahun,” kata beliau lagi.

Beliau turut berkata jika terdapat satu pusat sedemikian, orang ramai juga boleh menaiki Lepa untuk ke Pulau Bum-Bum dan melihat sendiri industri Lepa itu.

“Penduduk setempat di Pulau Bum-Bum juga dapat mengacapi kemajuan kerana mereka boleh menjadikan ia sebagai satu industri dan bukan hanya sebagai sambutan tahunan,” tambah beliau.

Sementara itu, Hajan yang juga Ahli Jawatankuasa Umno Semporna yang baru dilantik turut menggesa penduduk Semporna supaya mengetepikan perselisihan faham politik dan fokus terhadap pembangunan di Semporna.

“Pemimpin datang dan pergi. Itulah hakikatnya. Namun, sebagai rakyat, kita haruslah sentiasa menyokong kepimpinan yang sedia ada dan bekerjasama dengan pihak kepimpinan agar semua orang dapat menikmati pembangunan yang baik.

“Kerajaan Umno di Sabah dan Malaysia telah membawa banyak pembangunan yang memanfaatkan rakyat dan kita haruslah berdiri teguh dan menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Haji Aman kerana mereka telah banyak berjasa kepada kita.

“Memang sudah terbukti bahawa hanya Umno sahaja yang dapat membawa pembangunan yang jitu kepada Sabah dan oleh itu, semua ahli Umno di Semporna, baik yang memegang jawatan atau tidak haruslah bekerjasama agar dapat sama-sama menyumbang ke arah pembangunan daerah Semporna,” kata beliau.

   
Email Print
   
 
 
E-browse