|
29th October, 2012
KENINGAU: Kelewatan pembayaran tuntutan kontraktor berpunca daripada dokumen-dokumen yang dikehendaki oleh pihak kewangan Pejabat Pembangunan Persekutuan Sabah (PPNS) tidak lengkap.
Pegawai Kemajuan Negeri Sabah Datuk Haji Matusin Sunsang berkata, jika terdapat kesilapan teknikal atau dokumen yang dikemuka oleh pihak kontraktor semasa membuat tuntutan pembayaran projek tidak lengkap ia menyebabkan pembayaran tidak dapat dibuat mengikut tempoh yang dikehendaki.
Katanya, kesilapan teknikal dan dokumen berkaitan tidak lengkap berlaku sama ada kelemahan di pihak kontraktor dan pihak Pejabat Daerah sebagai agensi pelaksana.
“Apa bila berlaku kesilapan teknikal dan dokumen tidak lengkap terhadap tuntutan kontraktor yang dikemukakan kepada pihak kewangan PPNS sudah pasti ia lewat dibayar kerana dokumen akan dikembalikan untuk semakan Pejabat Daerah,” katanya kepada media dalam siri lawatannya di daerah ini baru-baru ini.
Justeru itu katanya, kedua-dua pihak iaitu pihak kontraktor dan Pejabat Daerah perlu meneliti dokumen-dokumen yang berkaitan dengan tuntutan pembayaran projek sebelum dikemukakan kepada pihak kewangan PPNS.
Ini katanya, bagi memastikan tuntutan kontraktor dibayar mengikuti tempoh yang telah ditetap.
Menurut Matusin, pihak kewangan PPNS akan membuat pembayaran tuntutan kontraktor dalam dua tiga hari atau selewat-lewatnya dua minggu jika dokumen yang dikehendaki oleh pihak kewangan dikemukakan dengan lengkap.
“Dakwaan pihak tertentu yang mengatakan tuntutan kontraktor lewat dibayar kerana kerajaan tidak cukup wang adalah tidak benar. Kita mempunyai wang yang cukup untuk membiayai projek-projek yang telah diluluskan oleh kerajaan,” tegas Matusin.
Dalam hal ini Matusin meminta pihak kontraktor supaya lebih teliti dan melengkapkan dokumen-dokumen yang berkaitan sebelum mengemukakan dokumen tuntutan kepada pihak Pejabat Daerah.
|