|
5th October, 2012
KOTA KINABALU: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP) akan membuka cawangan baharu di Kota Marudu mulai Isnin ini di Lot No. 2, Taman WTK Fasa II, Jalan Tandek bagi menggantikan cawangan di Kudat.
Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP Nik Affendi Jaafar berkata cawangan baharu itu akan menggantikan KWSP Kudat yang akan menamatkan operasinya pada pukul 12 tengah hari ini.
“Keselesaan ahli adalah keutamaan KWSP. Oleh itu, KWSP akan sentiasa berusaha mempertingkatkan perkhidmatannya bagi memudahkan ahli berurusan dengan KWSP.”
Berikutan itu, KWSP Kota Marudu ditempatkan di lokasi strategik dan turut dilengkapi dengan kemudahan untuk orang kurang upaya (OKU),” katanya dalam satu kenyataan di sini kelamrin.
Nik Affendi berkata cawangan baharu itu akan terus menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan seperti menerima permohonan pengeluaran, menyedia dan menerima pelbagai borang KWSP dari ahli dan majikan, membekalkan penyata ahli, mengendalikan pertanyaan serta khidmat nasihat dan maklumat mengenainya.
Katanya waktu operasi kaunter bermula pukul 8.15 pagi hingga 4.45 petang dari Isnin hingga Jumaat.
KWSP adalah dana simpanan persaraan terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan.
|