|
21st September, 2012
PASIR PUTEH: Lebih 200 pemimpin yang mewakili lebih 10 badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis bagi membantah kenyataan Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham yang mempertikaikan bantahan umat Islam terhadap filem ‘Innocence of Muslims’.
Mereka diketuai oleh Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Jeram Tuan Mustaffa Tuan Mat yang membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh pukul 10 pagi kelmarin.
“Datuk Ngeh Koo Ham tidak sensitif dengan masyarakat Islam yang menjadi majoriti di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat aduan itu.
Semalam, Ngeh menerusi laman Twitternya didakwa mengeluarkan soalan bantahan itu sebagai provokasi terhadap reaksi kepada hasrat Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin bergabung dengan Dewan Pemuda PAS mengadakan protes terhadap filem arahan Sam Bacile itu yang menghina dan memfitnah Nabi Muhammad SAW.
Tuan Mustaffa bimbang kenyataan Ngeh itu boleh mengundang permusuhan antara kaum dan agama di negara ini.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Cherang Rotan Tuan Hussin Tuan Abdul Rahman turut mempersoalkan kenyataan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang berdiam diri mengenai kenyataan Ngeh itu.
Beliau berkata Nik Aziz perlu memberi penjelasan segera mengenai kenyataan dan pendirian beliau sebenar untuk menjernihkan keadaan.
Antara NGO yang membuat laporan itu adalah pertubuhan belia, persatuan nelayan selain Pergerakan Pemuda, Pergerakan Wanita dan Puteri Umno Bahagian Pasir Puteh.
Sementara itu di KUALA LUMPUR, Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM) mendesak DAP mengambil tindakan disiplin terhadap pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham kerana mempersoalkan tindakan bantahan umat Islam terhadap filem ‘Innocence of Muslims’ yang menghina dan memfitnah Nabi Muhammad SAW.
KWMM dalam satu kenyataan kelmarin menuntut supaya Ngeh meminta maaf kepada umat Islam di negara ini kerana telah mengeluarkan kenyataan yang dianggap sebagai amat tidak sensitif, di laman twitternya pada Isnin lalu.
Presiden KWMM Dzulkarnain Taib berkata sebagai seorang pemimpin Ngeh telah menunjukkan seolah-olah beliau tidak sensitif langsung terhadap perasaan marah umat Islam dan menganggapnya sebagai satu sifat yang tidak bertanggungjawab.
“Islam sebagai agama rasmi Persekutuan hendaklah sentiasa dihormati oleh mana-mana rakyat Malaysia dan tidak boleh dipermainkan oleh sesiapa pun apatah lagi dihina.
“Jika Pengerusi DAP Perak itu menghina Islam, ini bermakna beliau juga menghina Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Agama Islam Persekutuan Malaysia dan perkara ini sudah tentu tidak boleh dibiarkan berlaku begitu sahaja,” katanya.
|