|
19th September, 2012
PITAS: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah digesa agar menyalurkan peruntukan segera untuk mendirikan semula 36 buah gerai yang musnah dalam satu kebakaran di Pekan Pitas subuh kelmarin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Pitas, Datuk Bolkiah Haji Ismail setelah dimaklumkan oleh Pejabat Perhubungan Umno DUN Pitas, bergegas dari Kota Kinabalu ke tempat kejadian.
Ketika ditemui media, Bolkiah berkata mereka (mangsa) yang berniaga dalam pelbagai perniagaan bergantung dengan pendapatan hasil dari gerai berkenaan.
Sehubungan itu, Bolkiah merayu kepada kementerian berkenaan supaya prihatin terhadap masalah ini dan menyegerakan peruntukan untuk mendirikan semula gerai-gerai yang musnah dalam kebakaran yang tidak diingini itu.
“Saya juga memohon jasa baik kerajaan negeri dan Pusat supaya mempercepat pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat di Pitas bagi mengatasi kebakaran seperti ini tidak berlanjutan di masakan akan datang.
Katanya, sekiranya ada Balai Bomba dan Penyelamat di daerah ini sudah pasti kebakaran yang berlaku tidaklah memusnah keseluruhannya, sekurang-kurangnya dapat diselamatkan sebahagian daripadanya.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar itu berkata, beliau sudah memohon supaya Balai Bomba dan Penyelamat diwujudkan segera di daerah ini ketika menyaksikan sendiri kejadian kebakaran yang memusnahkan asrama pelajar Sekolah Kebangsaan Rosob dua tahun lalu.
“Memandangkan bomba datang dari Daerah Kota Marudu ia mengambil masa sejam atau lebih maka kelewatan mereka datang ke tempat kejadian penyebab asrama pelajar berkenaan langsung tidak dapat diselamatkan dan samalah dengan kejadian kali ini di mana 36 gerai tidak dapat diselamatkan,” katanya.
Pegawai Daerah Pitas, Sapdin Ibrahim ketika dihubungi berkata kejadian kebakaran bermula 5.30 pagi dan sekitar jam 6.00 pagi kesemua 36 gerai sudah musnah dan Bomba dan Penyelamat sampai dari Kota Marudu kira-kira jam 7.00 pagi.
Katanya, Balai Bomba dan Penyelamat wajar ada di daerah penuh yang membangun, ini kerana bukan sahaja kebakaran yang perlu diberi perhatian tetapi lain-lain kemalangan juga memerlukan khidmat Bomba dan Penyelamat.
Beliau juga merayu kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan supaya segera menyalurkan peruntukan untuk membina semula gerai yang musnah.
Seorang jurucakap bomba berkata punca kejadian dan anggaran kos masih dalam siasatan dan tidak ada kemalangan jiwa yang dilaporkan.
|