|
|
|
PENGHARGAAN…Sapawi diperhatikan oleh Pengarah Penerangan Sabah Almain Ajirul menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil Telekom Neil Edine di majlis itu.
|
13th September, 2012
KOTA KINABALU: Kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap Umno bukan sahaja perlu dipertingkatkan tetapi juga perlu dijaga.
Maka tindakan tegas parti kepada mana-mana anggota Umno yang melakukan sabotaj sememangnya tindakan yang terbaik dalam memastikan kepercayaan dan keyakinan rakyat terus kekal, kata Ketua Penerangan Umno Sabah Datuk Sapawi Ahmad.
“Tindakan seumpama itu sememangnya diharapkan kerana ia memberi kesan positif terhadap sokongan rakyat kepada Umno,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini kelmarin.
Muhyiddin baru-baru ini berkata Umno akan menyingkir mana-mana ahli yang melakukan sabotaj pada pilihan raya umum ke-13 nanti.
Sapawi yang ditemui pada majlis meraikan peserta konvoi Jalur Gemilang di sini berkata penyingkiran itu adalah langkah yang terbaik kerana Umno bukan parti yang mengutamakan kuantiti.
Katanya, Umno adalah parti yang lebih mengutamakan kualiti ahlinya kerana perjuangan yang dilaksanakan adalah untuk rakyat.
“Kita tidak mahu ahli seumpama ini kerana rakyat yakin dan percaya kepada Umno kerana perjuangannya yang ikhlas dan telus,” katanya dan menambah kepercayaan dan keyakinan rakyat sudah tentu terjejas jika ahli yang melakukan sabotaj tidak dikenakan apa-apa tindakan.
Beliau berkata Umno juga perlu menjadi contoh kepada parti komponen yang lain dengan mengambil tindakan seumpama itu.
Katanya, tindakan itu bukan sahaja untuk memperlihatkan kepada rakyat mengenai perjuangan sebenar Umno tetapi juga memperjelaskan bahawa Umno tidak menyimpan ahli parti yang berubah haluan perjuangannya.
“Keutamaan kita ialah kualiti perjuangan dan bukannya kuantiti … kita berjuang untuk rakyat dan sebagai anggota Umno kita khlas menerimapakai perjuangan parti itu,” katanya.
Sapawi yang juga Ahli Parlimen Sipitang menegaskan kesetiaan perjuangan penting kerana ia boleh mengelak daripada anggota parti melakukan sabotaj.
“Kita mahu yang terbaik dan hanya yang terbaik sahaja perlu ada dalam Umno … Umno adalah parti nyang mengamalkan demokrasi yang terbaik, mana-mana ahli yang mungkin tidak bersetuju dengan apa juga keputusan, ia patut diselesaikan dalam parti dan bukannya melakukan tindakan seperti mensabotaj calon BN pada PRU ke-13 nanti,” katanya.
Sementara itu, dalam ucapannya di majlis tersebut, Sapawi berkata perbuatan pihak yang menghina ‘Jalur Gemilang’ adalah biadap.
“Mereka ini sanggup melakukan perbuatan biadap kepada bendera negara sendiri tetapi sebaliknya mengagungagungkan bendera sesetengah parti,” katanya.
Katanya, generasi muda hari ini, dalam menikmati arus kehebatan dan kekuatan Negara tidak seharusnya melupakan semangat kemerdekaan dan sentiasa berusaha mengekalkan keamanan yang dikecapi ini.
Di majlis itu, turut menyaksikan upacara penyerahan Sijil dan Cenderamata kepada peserta-peserta Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang dan juga kepada pelajar-pelajar dari Kelab Setia 1Malaysia SMK Putatan yang telah menjadi Johan Perbarisan bagi Kategori Kelab Sekolah sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-55 yang lalu.
|