|
26th August, 2012
TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya merampas 200 tong gas bersubsidi yang dipercayai cuba diseludup keluar dari negara ini ke Indonesia, pada Jumaat.
Kejayaan itu dicapai hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas sebuah bot jongkong di Perairan Tawau pada kira-kira jam 5.30 petang.
Pengarah Operasi Daerah, Komander Maritim Azman Samsudin berkata, seorang juragan tempatan, 20-an, dan seorang penumpang wanita warga Indonesia, 30-an, ditahan di dalam pemeriksaan itu.
Kedua-dua suspek jelasnya, gagal menunjukkan dokumen yang berkaitan dengan barang kawalan berkenaan sekaligus disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Dalam pemeriksaan terbabit, juragan bot juga ujarnya turut didapati mengemudi bot tanpa lesen dan kesemua tahanan serta barang rampasan sudah dibawa ke jeti APMM untuk siasatan lanjut.
“Kita akan terus memperketatkan pemeriksaan di Perairan Tawau agar tidak ada mana-mana penyeludup cuba mengambil kesempatan di musim perayaan Hari Raya ini,” katanya.
Azman turut menyeru masyarakat supaya menyalurkan maklumat menerusi talian 089-752115, sekiranya mengetahui tentang aktiviti penyeludupan atau salah laku Maritim di Perairan Tawau.
|