|
23rd August, 2012
TAWAU: Rakyat diseru supaya terus memupuk perpaduan serta mengetepikan seketika ideologi politik masing-masing, bersempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Kemerdekaan Negara, tahun ini.
Pembantu Menteri Kewangan Negeri, Datuk Tawfiq Datuk Abu Bakar Titingan, berkata tanggungjawab mempertahankan kedaulatan dan maruah negara adalah tanggungjawab yang perlu dipikul setiap rakyat.
Tambahnya, perbezaan pandangan atau ideologi adalah sesuatu yang lumrah, tetapi ia tidak seharusnya menjadi alasan yang boleh menyebabkan negara kucar-kacir dan kedaulatan negara tercemar.
Setiap rakyat juga jelasnya haruslah menghormati perlembagaan negara dan berjuang mempertahankan keharmonian dari diganggu-gugat oleh anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab.
“Kita memang boleh berbeza pandangan atau berbeza dari segi ideologi, tetapi ia mestilah dilakukan menerusi saluran yang betul iaitu melalui peti undi.
“Justeru, hormatilah Perlembagaan Negara dan jadikankanlah sambutan kedua-dua perayaan ini sebagai titik tolak untuk kita mempertahankan kedaulatan, kesejahteraan dan kemajuan negara kita,” katanya.
Beliau yang juga Wakil Rakyat Kawasan Apas berkata demikian ketika ditemubual di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidil Fitrinya, yang diadakan di kediaman keluarganya di Banyan Drive, di sini.
Dianggarkan lebih 10,000 anggota masyarakat menghadiri majlis itu.
Menjawab soalan, Tawfiq selaku Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional (BN) Tawau yakin bahawa BN mampu mempertahankan kerusi DUN Apas dan DUN Balung pada pilihan raya akan datang.
Berdasarkan sokongan yang diterima daripada rakyat juga katanya, beliau turut yakin BN berupaya memberi saingan yang sengit untuk dua kerusi pembangkang iaitu DUN Sri Tanjung dan Parlimen Tawau.
Hadir sama meraikan kehadiran tetamu di majlis itu ialah Naib Ketua Umno Tawau, Nizam Datuk Abu Bakar Titingan dan Ketua Penerangan Umno Tawau, Datuk Ahmad Baharon Titingan.
Majlis yang dihadiri oleh ramai pemimpin setempat itu turut bertambah meriah dengan adanya pelbagai jenis juadah serta lagu-lagu hiburan yang bertemakan perayaan Hari Raya Aidilfitri.
|