|
17th August, 2012
TAWAU: Ahli Umno diminta tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang menyatakan lebih ramai pemimpin Barisan Nasional (BN) akan melompat keluar parti.
Sebaliknya ahli Umno perlu bersatu dan berusaha memperkemas pergerakkan dengan lebih rapi bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang, demikian menurut Pembantu Menteri Kewangan Negeri, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.
Menurutnya, perkara itu hanya propaganda pihak pembangkang yang berusaha menggugat dan memecahbelahkan kepercayaan penyokong-peyokong parti selama ini.
“Parti tidak akan hancur walau pemimpin keluar kerana bukan pemimpin yang penting tetapi parti itu yang sedia kuat jadi jangan ragu-ragu kononnya akan lebih ramai pemimpin Umno keluar,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Perjumpaan Khas dan Berbuka Puasa Bersama Pemimpin di Hotel Promenede yang dihadiri kira-kira 1,000 ahli Umno terdiri daripada ketua-ketua cawangan Bahagian Tawau.
Menurutnya, ahli Umno perlu belajar dari kesilapan dan melihat pencapaian yang telah diperolehi sebelum ini dan bertindak menyampaikannya kepada masyarakat.
“Pemimpin keluar parti memang pernah terjadi, dulu Dato Onn pun pernah keluar dari parti juga tapi parti Umno masih ‘ok’ dan kukuh sampai sekarang jadi seharusnya ia tidak menjadi kegusaran,’’ujarnya.
Beliau yang juga Ketua Umno bahagian Tawau merangkap wakil rakyat Apas berkata perkara yang perlu diutamakan sekarang ialah bekerja keras dan terus melaksanakan tugas menyelami hati rakyat dengan lebih dalam.
“Perkemaskan diri, ahli-ahli Umno dan pergerakkan kerana PRU ke-13 tidak lama lagi, paling lewat pun dalam Bulan Mac tahun depan, jadi mulai sekarang semua ahli Umno perlu menjadi Jalinan Rakyat bagi parti,’’katanya.
Sementara itu, beliau turut meminta agar semua ahli Umno berusaha mengejar kebaikan dan ganjaran pahala dalam bulan mulia ini serta saling menjaga perpaduan kerana ia kunci kesederhanaan.
Turut hadir pada majlis itu, wakil rakyat Balung yang juga Timbalan Ketua Umno Tawau, Datuk Syed Abas Syed Ali.
|