|
|
|
DISAMBAR BUAYA ... Azwan menunjukkan lokasi di mana ayahnya disambar buaya, Rabu lalu.
|
17th August, 2012
TAWAU: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun tergamam selepas melihat ayahnya yang asyik memukat udang di Sungai Udin, tiba-tiba di- sambar seekor buaya lalu ditarik ke dalam sungai itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang pada Rabu itu, remaja tersebut, Azwan Jailani, 16, hanya berada dalam jarak beberapa meter daripada ayahnya, Jailani Indersaya, 54.
Untuk rekod, Sungai Udin terletak kira-kira 50 kilometer dari bandar Tawau.
“Waktu itu saya sedang memancing, ayah saya pula sedang memukat. Tiba-tiba seekor buaya berwarna hitam terus menerkam ayah saya lalu menariknya ke dalam sungai.”
“Saya cuba mengejar jejak buaya itu berdasar- kan kocakan air dari tebing sungai, tetapi buaya itu dan ayah saya terus lenyap ke dalam sungai,” katanya sedih.
Menurutnya, beliau tidak menyangka yang dia tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini bersama ayahnya, ekoran kejadian ber- kenaan.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Ibrahim Chin yang mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi memberitahu bahawa satu gerakan mencari kini dilancarkan bagi mengesan mangsa yang hilang.
Gerakan mencari itu katanya dilakukan bersama beberapa agensi lain termasuklah pihak Bomba, Rela, Jabatan Perhilitan dan orang kampung.
“Kes sambaran buaya sememangnya berlaku di daerah ini seperti di Sungai Kalumpang, Sungai Serudong dan Sungai Udin.”
“Oleh itu, kita menasihatkan masyarakat supaya berhati-hati ketika turun ke sungai dan berusaha untuk mengelak dari pergi ke kawasan yang diketahui terdapatnya habitat buaya,” katanya.
Operasi mencari mangsa katanya kini masih giat dijalankan.
|