|
16th August, 2012
KOTA BELUD: Kerajaan Negeri telah meluluskan insentif pengeluaran getah untuk seramai 23,738 pekebun kecil getah, kata Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Herbert Timbon Lagadan.
Katanya, Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) telah diberi tanggungjawab untuk mengendalikan dan melaksanakan Skim Insentif Pengeluaran Getah dan kadar insentif yang akan diberikan adalah berdasarkan kepada hasil keluaran getah milik pekebun kecil yang dijual kepada LIGS.
“Kerajaan Negeri telah mengambil perhatian bahawa harga getah antarabangsa telah turun daripada paras RM11,000 setan kepada RM9,000 se tan, ini akan mengurangkan pendapatan para pekebun kecil getah, sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dimana kepentingan rakyat didahulukan serta peka dan penyayang kepada rakyat, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk memberikan insentif pengeluaran kepada para pekebun kecil Negeri Sabah mulai 1 Ogos 2012,” katanya pada Majlis Penyampaian Dividen sepuluh peratus kepada anggota Koperasi Kadamaian Kota Belud Bhd (KOPKA) di Dewan Gopog, Taginambur, dekat sini, kelmarin.
Herbert yang juga Ahli Dewan Undangan Kadamaian berkata, tujuan insentif itu diberi adalah untuk menggalakkan pekebun kecil meningkatkan pengeluaran getah dan menambah pendapatan.
“Skim insentif ini adalah salah satu program kerajaan untuk meringankan beban kos pengeluaran yang ditanggung oleh para pekebun kecil seperti baja, racun, rumput rumpai yang digunakan selepas getah matang dan ditoreh,” katanya.
Menyentuh mengenai pembahagian dividen oleh KOPKA kepada anggotanya yang pertama kali selepas penubuhan koperasi pada 80-an, Herbert yang juga Ahli Lembaga Pengarah memuji kecekapan pengurusan koperasi berkenaan sehingga berhasil mengagihkan saham kepada 237 ahlinya.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga KOPKA, Daniel Semudin berkata, KOPKA dulunya tidak mempunyai ramai ahli tetapi, kini melakar sejarah sehingga KOPKA mempunyai tiga bangunan, satu di Sedco Kota Belud dan dua di Pekan Taginambur dengan modal pusingan sebanyak RM102,395.
Katanya, kini KOPKA telah dilantik sebagai agen tunggal barangan runcit kedai 1Malaysia atau K1RM dengan pengisiannya barangan Coopmart yang terkawal.
|