|
10th August, 2012
LABUAN: Sebanyak 12 Premis makanan dan tiga hotel di sini telah mendapat kelulusan Sijil Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Bagaimanapun, sebuah hotel mendapat kelulusan secara bersyarat, manakala dua lagi telah ditarik balik perakuan halal selepas sijil Halal yang dikeluarkan oleh JAKIM didapati telah tamat tempoh.
Demikian di beritahu oleh Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal JAKIM, Ustaz Mohd. Saidi Jaafar kepada pemberita di sini, kelmarin.
Katanya, pihak penguatkuasa JAKIM akan melakukan pemeriksaan secara berkala di setiap premis makanan dan hotel sambil menasihatkan agar pengusaha premis makanan dan pengurusan perhotelan sentiasa memastikan sijil halal yang dikeluarkan oleh JAKIM sentiasa dalam keadaan yang sah tempoh lakunya.
Katanya, setiap sijil Halal yang dikeluarkan sah untuk tempoh dua tahun dan ketika ini pihak JAKIM telah memberi tempoh peralihan kepada premis makanan selama enam bulan bermula Januari hingga Julai 2012.
“Kegagalan mempamerkan logo halal yang dikeluarkan Jakim boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu denda tidak melebihi RM200,000 bagi kesalahan pertama, manakala RM500,000 untuk kesalahan kedua,” katanya.
Dalam pada itu beliau menjelaskan pengguna yang ingin mendapatkan maklumat mengenai premis makanan dan hotel yang telah memperolehi Sijil Halal boleh didapati dengan melayari laman sesawang Jakim di www.islam.gov.my
|