|
10th August, 2012
TAWAU: Seramai 2,989 pelajar negeri ini menerima waran wang pendahuluan pembiayaan (WPP) daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak RM1,500 setiap seorang.
Penolong Pengurus Kanan PTPTN, Muliati Kamaruddin berkata, jumlah itu meliputi 44,499 pelajar seluruh negara yang layak menerimanya melalui pengesahan terima PTPTN ketika mengisi borang kemasukan ke universiti.
Menurutnya, ia merupakan wang pendahuluan pembiayaan mengikuti pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia(STPM) dan setaraf untuk pengajian Ijazah Sarjana Muda.
“Pemberian WPP ini adalah bagi pelajar yang mendaftar masuk ke universiti bagi sesi 2012/2013 pada September hadapan untuk memberi kemudahan awal kepada pelajar,’’katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi taklimat pemberian WPP kepada 506 pelajar daerah ini yang telah disampaikan oleh Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.
Katanya, pelajar boleh menunaikan waran WPP berkenaan di bank CIMB dengan tarikh waran berkenaan hanya selama sebulan iaitu bermula dari 8 Ogos sehingga 8 September depan.
“Tempohnya hanya sebulan dan waran ini hanya boleh ditunaikan di kaunter bank CIMB, tidak boleh menggunakan mesin cek dan jangan lupa bawa kad pengenalan,’’katanya.
Sementara itu, Tawfiq ketika berucap pada majlis itu berkata kerajaan memahami majoriti ibu bapa menghadapi masalah kewangan khasnya menyediakan wang yuran untuk pengajian anak mereka yang akan melanjutkan pelajaran ke IPT.
“Kerajaan wujudkan PTPTN bukan sahaja membantu ibu bapa menyelesaikan pembayaran yuran atau membeli tiket kapal terbang tapi untuk memberi peluang kedua kepada pelajar memperoleh keputusan cemerlang,’’katanya.
Menurutnya, para pelajar perlu belajar bersungguh-sungguh untuk memperoleh kepujian kelas pertama apabila graduan bagi membolehkan pinjaman PTPTN berkenaan bertukar menjadi biasiswa.
“Semua mahu mendapatkan kelas pertama namun kita tidak mahu hanya mahu sahaja, kita mahu adanya tindakan untuk mencapai cita-cita berkenaan serta perlu kembali untuk berkhidmat di daerah ini,’’ujarnya.
|