|
3rd August, 2012
KUALA LUMPUR: Jasa dan pengorbanan perajurit yang menjalankan tugas sebagai pengaman dan pemerhati di peringkat antarabangsa terus dikenang serta dihargai melalui pemberian sumbangan Aidilfitri yang diadakan setiap tahun.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebanyak RM1.56 juta sumbangan kewangan diterima daripada 44 buah syarikat manakala 15 syarikat termasuk Badan Amal Dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) memberi sumbangan dalam bentuk barangan.
“Daripada jumlah sumbangan kewangan yang diterima, sebanyak RM1.54 juta telah dibelanjakan untuk pembelian beg galas, tuala mandi, kain pelikat serta kuih raya.
“Sumbangan berbentuk barangan keseluruhannya bernilai lebih RM500,000,” katanya pada majlis penyampaian Sumbangan Bungkusan Hari Raya Aidilfitri kepada ATM di Wisma Kementerian Pertahanan di sini, kelmarin.
Turut hadir Yang Dipertua Bakti Datin Seri Rosmah Mansor yang juga isteri Perdana Menteri dan isteri Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Yang Dipertua Bakti, Puan Sri Norainee Abdul Rahman.
Ahmad Zahid berkata, sumbangan ini memperlihatkan keprihatinan rakyat Malaysia terhadap kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Tahun ini, ATM menyediakan 15,000 bungkusan Hari Raya yang akan diagihkan kepada anggota yang bertugas menjelang Aidilfitri termasuk anggota di perbatasan negara di Semenanjung, Sabah, Sarawak dan negara di bawah naungan panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, katanya.
Ahmad Zahid berkata, antara penyumbang terbesar adalah Bakti, National Aerospace and Defence Industries Sdn Bhd, Sapura, Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd dan WestStar Maxus.
Antara sumbangan barangan dan makanan yang diterima adalah sambal ikan bilis, beras ketupat, rendang daging, paket nasi goreng kampung, kain pelikat, biskut Royale Danish dan kad iTalk daripada Telekom.
“Ucapan terima kasih kepada Bakti yang telah memberi sumbangan kepada ATM secara berterusan sejak 1985, para dermawan, pertubuhan sukarela, badan politik, sektor korporat serta syarikat swasta malah tahun ini saya dapati ada pertambahan di kalangan penyumbang,” katanya.
Pada majlis itu, Tabung Zakat Angkatan Tentera turut menerima RM2.5 juta sumbangan masing-masing RM1 juta daripada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Koperasi Tentera manakala Affin Islamic Bank Berhad RM500,000 untuk disalurkan bagi pembayaran zakat kepada asnaf ATM.
Mengenai kemalangan jalan raya membabitkan seorang anggota tentera yang bertugas di Bahagian Gaji, Kementerian Pertahanan dan isterinya di sini semalam, Ahmad Zahid berkata mangsa akan menerima pampasan serta insuranS daripada ATM.
“Pampasan tersebut termaktub dalam terma perkhidmatan ATM sekiranya ada di antara mereka yang terlibat dalam kemalangan dalam masa yang sama dapat meringankan beban serta membantu anak mangsa meneruskan pelajaran,” katanya.
Ahmad Zahid turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
Dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, mangsa Hafeeze Mohd Hanafi, 30, bersama isterinya Siti Noor Edayu Roslan, 26, yang hamil tujuh bulan, menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda Z, dirempuh sebuah bas sekolah dari belakang semasa berhenti di satu persimpangan lampu isyarat di Jalan 15/56 AU 3, Keramat, menyebabkan mereka tersepit di antara dua bas dan meninggal dunia di tempat kejadian.
|