|
2nd August, 2012
LABUAN: Tumpahan minyak mentah dari kapal tangki MT Bunga Alpinia yang terbakar dan meletup di jeti Petronas Methanol Labuan Khamis lalu, mengakibatkan beberapa perairan di sekitar pulau ini telah tercemar sekaligus menjejaskan para nelayan pantai dan bot penambang.
Nelayan yang paling teruk terjejas ialah mereka yang tinggal di kampung air Patau-Patau Dua yang jaraknya hanya sekitar lima kilometer dari tempat kapal itu terbakar.
Kelmarin, kira-kira 30 nelayan kecil termasuk penambang bot dari kampung berkenaan mendakwa kehidupan mereka telah terjejas akibat daripada tumpahan minyak tersebut.
Seorang nelayan sepenuh masa, Norlela Kasim, 42, mendakwa telah mengalami kerugian apabila hasil tangkapan ikan dan ketam dari bubunya yang dilabuhkan di sekitar perairan Patau-Patau mati akibat terkena tumpahan minyak.
Malah beberapa ikan ternakan suaminya yang disimpan dalam sangkar turut terjejas apabila mendapati beberapa ekor ikan ternakan mati.
Beliau berkata, kejadian mula berlaku pada hari Ahad lalu, apabila semua ketam yang dibangkit dari bubunya mati akibat terkena tumpahan minyak.
Malah katanya, semua peralatan tangkapan ikan seperti bubu dan sangkar ikannya juga rosak.
Sementara itu, suaminya Gores Maran, 47 yang mengusahakan ternakan ikan dalam sangkar turut mendakwa kerugian sekitar RM300 sehari kerana semua hasil tangkapanya tidak dapat dijual.
“Akibat daripada kejadian itu saya kerugian sekitar RM300 kerana semua hasil tangkapan ketam dan ikan saya tidak boleh dijual,” katanya kepada New Sabah Times di sini kelmarin.
Sementara itu, beberapa penduduk di kampung berkenaan yang sebelum ini sering ke laut pada waktu petang untuk menangkap ikan, lokan dan kerang secara sambilan sudah tidak berani ke laut kerana bimbang hasil tangkapan mereka tidak selamat untuk di makan akibat daripada tumpahan minyak.
Malah, mereka juga mula khuatir tumpahan minyak yang mula mengalir ke permukaan tepi rumah mereka boleh mendatangkan kemudaratan seperti penyakit gatal-gatal badan.
Selain itu, pengusaha bot penambang di sekitar kampung berkenaan juga turut mendakwa bot mereka mengalami kerosakan akibat terkena tumpahan minyak sekaligus menjejaskan pendapatan mereka.
Kawi Said, 73 yang mengusahakan bot penambang mendakwa sukar untuk turun kelaut kerana bimbang serpihan minyak yang melekat di dinding dan enjin botnya boleh mendatangkan kerosakan.
Seorang lagi pengusaha bot penambang, Raziman Alidin, 34, mendakwa akibat daripada tumpahan minyak itu, dinding permukaan botnya telah dipenuhi dengan minyak yang sukar untuk dibersihkan, malah bau minyak yang melekat di botnya juga sukar untuk dihilangkan.
|