|
|
|
Jaxfelix
|
2nd August, 2012
MENGGATAL: Kejadian kehilangan dua adik-beradik dari Kampung Gantung, Pulutan Menggatal yang masuk seminggu kelmarin masih menjadi misteri dan menimbulkan pelbagai spekulasi berbeza khususnya dalam kalangan penduduk di sini.
Mangsa, Suina Goekan, 27 tahun bersama adiknya, Jaxfelix Kalvin, 7 tahun didakwa hilang pada petang 26 Julai (Khamis) minggu lalu dan masih belum dikesan sehingga berita ini ditulis.
Kali terakhir mangsa dilihat adalah semasa sedang berjalan dipercayai balik rumah melalui jalan Kirulau dekat sini bersama adiknya yang baru selesai sesi persekolahan di sekolah SJK Lok Yuk, Inanam sekitar tengah hari.
Menurut kakak mangsa Semanah Goekan, 29, pada kebiasaan selepas bersarapan, Suina akan ke kebun menoreh getah, manakala Jaxfelix pula dihantar oleh ibu mereka melalui denai hutan sehingga ke jalan besar di kampung itu untuk ditumpangkan kenderaan tertentu ke sekolah.
“Setiap hari sekitar tengah hari sehingga jam 2 petang, kedua-dua mereka sepatutnya sudah sampai ke rumah kerana selalunya apabila selesai memungut getah dan selepas memasak, Suina akan mengambil adiknya di tempat biasa,” cerita Semanah anak sulung daripada enam beradik itu sayu kerana sehingga kini kedua-dua adiknya belum ditemui.
Katanya lagi, untuk mengetahui sama ada Suina sudah balik dari kebun atau belum, hanya melihat kepada baju yang dipakainya ke kebun, disangkutkan pada dinding rumah.
Bagaimanapun, ujar Semanah, kali ini baju adiknya itu ditemui di kebun tempatnya menoreh setiap hari.
Kelihatan sugul ekoran kejadian menimpa kedua adiknya itu, Semanah yang sebelum ini berada di rumah keluarga suaminya di Telupid, memberitahu seolah mendapat firasat bahawa sesuatu yang tidak kena berlaku di kampung halamannya membuatkan dia mengambil keputusan untuk balik.
Tinjuan wartawan NST ke rumah mereka Selasa lalu mendapati mangsa dan keluarga tinggal di sebuah rumah hampir usang diperbuat daripada bambu, manakala jarak rumah mereka dari jalan raya besar kira-kira 1 KM jauhnya melalui jalan raya yang sangat curam.
Ibu dan bapa mangsa yang menyertai gerakan mencari sejak tengahari itu juga sanggup menahan lapar dan dahaga semata-mata mahu mencari anak-anak mereka bersama beberapa penduduk lain.
“Ibu dan bapa masih belum balik sejak tengahari tadi sehingga sekarang, walhal saya sudah siapkan makanan untuk mereka,” ujar Semanah bersimpati dengan melihat kedua ibu bapa mereka terus bertekad mencari kedua-dua adik kesayangannya itu, sementara dia menjaga anak dan adik beradiknya yang lain di rumah.
Mengungkap kehairanan mereka sekeluarga, ketika gerakan mencari dibuat, pakaian ‘momutung’ (menoreh) dan pisau toreh itu dilihat berada berhampiran kebun getah mereka, tetapi mangsa tidak ada di situ, malah parang yang dibawa setiap hari juga tidak kelihatan.
Dalam pada itu, pemandu lori yang bertanggungjawab mengambil dan menghantar adik mangsa, Inswan Gantob berkata, pada hari kejadian itu, beliau seperti biasa menurunkan Calvin lebih kurang jam 1.30 tengahari berhampiran pencawang elektrik di kampung Kirulau dan sempat melihat Suina datang untuk menyambut Calvin di tempat biasa.
Walau bagaimanapun, kedua-dua mereka gagal sampai ke rumah mereka yang jaraknya mengambil masa perjalanan 30 minit.
Kehilangan mangsa menjadi tanda tanya bukan sahaja kepada mereka sekeluarga tetapi juga penduduk setempat, termasuk polis dan anggota penyelamat yang terlibat dalam usaha mencari mangsa kerana kawasan di mana mangsa hilang berhampiran dengan rumah.
Pelbagai tanggapan dibuat oleh penduduk, malah ada yang mengaitkannya dengan alam ghaib seperti yang didengar pernah berlaku di beberapa tempat lain sebelum itu.
Seorang rakan yang kebetulan berada di rumah mangsa bersama wartawan NST semalam, beliau tidak menolak andaian bahawa kehilangan itu mempunyai kaitan dengan alam ghaib atau makhluk halus atau dalam bahasa tempatan Kadazan Dusun disebut ‘Tinalangan’ (dibawa oleh mahkluk halus).
“Walaupun kita beragama, tetapi saya percaya kuasa-kuasa kegelapan sentiasa ada di luar sana untuk mencobai manusia, apatah lagi yang melibatkan budak kecil dan wanita barangkali,” katanya.
Menurutnya, kejadian seumpama itu didengar sudah banyak berlaku bukan sahaja di Sabah tetapi juga di tempat-tempat lain, justeru perkara berkenaan tidak sepatutnya dipandang ringan.
Pada Selasa lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Inanam Datuk Johnny Goh ditemani beberapa anggota polis melawat keluarga terlibat.
Dihubungi wartawan NST semalam, Johnny berkata polis akan mengeluarkan kenyataan dari semasa ke semasa berhubung perkembangan terkini mengenai kes itu.
“Saya harap keluarga ini dapat bersabar dan kita sama-sama berdoa agar usaha mencari berjalan lancar. Saya percaya pihak polis akan terus melakukan siasatan terperinci,” kata Johnny.
Kepada sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai adik-beradik ini, atau mungkin pernah melihat mereka sepanjang seminggu lalu, diminta menghubungi Taini Sumping 019-5387598 (ibu mangsa).
|