|
24th July, 2012
TAWAU: Seorang guru wanita maut selepas kenderaan Perodua Myvi yang dinaikinya dirempuh oleh sebuah van dari arah bertentangan, di Batu 5, Jalan Apas Tawau, pada Ahad.
Mangsa, Mujahidah Rauf, 34, disahkan meninggal dunia di Wad Kecemasan, Hospital Besar Tawau kerana mengalami cedera parah pada bahagian kepalanya.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Ibrahim Chin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.40 petang itu, pemandu van terbabit sedang bergerak dari arah Bandar Tawau menuju ke Jalan Apas.
Setiba di lokasi kejadian, van yang dipandunya hilang kawalan lalu memasuki lorong bertentangan sebelum merempuh bahagian hadapan sebelah kanan kenderaan Myvi terbabit.
Bagaimanapun katanya, pemandu Myvi yang juga berusia 34 tahun hanya cedera di tangan, manakala pemandu van yang berusia 60 tahun tidak mengalami apa-apa kecederaan.
Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.
|