|
|
|
NAIK MOTOSIKAL … Ronald (tengah) menaiki motosikal bersama-sama belia di Kampung Perancangan yang mengiringi beliau ketika tiba merasmikan Karnival Sukan Belia di kampung itu.
|
23rd July, 2012
BELURAN: Kerajaan Barisan Nasional (BN) peka dengan kehendak perubahan rakyat dengan faktor itu menjadi landasan penting dalam melaksanakan program untuk rakyat.
Ahli Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee berkata, sebab itu kerajaan melaksanakan Pelan Transformasi Ekonomi dan Pelan Transformasi Pertumbuhan sebagai usaha untuk laksanakan perubahan politik di negara ini.
“Kerajaan mengambil kira keperluan dan kebajikan rakyat dalam memperkenalkan sesuatu program untuk memberi manfaat kepada golongan sasar.
“Semua program itu dilaksanakan mengikut keadaan semasa terutama dari segi ekonomi dan program itu bertujuan meringankan beban rakyat,” katanya ketika merasmikan Karnival Sukan Belia di Kampung Perancangan pada Khamis lepas.
Menurut Ronald yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, sebelum program itu dilaksanakan, kerajaan mendengar luahan dan masalah dari rakyat membabitkan pelbagai peringkat dan latar belakang.
Katanya, program yang telah diperkenalkan itu antaranya Bantuan Rakyat 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia Baucar Buku 1Malaysia dan terbaru Teksi Rakyat 1Malaysia.
Beliau berkata, sebagai sebuah kerajaan yang dipilih rakyat, tanggungjawab membantu dan membela nasib rakyat menjadi keutamaan kepada kerajaan terutama memastikan ekonomi dan keselamatan negara ini pada tahap terbaik.
Sebagai contoh, Ronald berkata Bantuan Rakyat 1Malaysia dilaksanakan bagi meringankan beban rakyat yang berpendapatan rendah.
Katanya, bagi program Teksi Rakyat 1Malaysia, kerajaan menumpukan bantuan membantu pengusaha teksi dalam membeli tayar disebabkan kenaikan harga tayar.
Ronald berkata, ia berbeza dengan sebuah pembangkang iaitu STAR yang menggunakan slogan ubah dan ini kali lah merupakan slogan politik yang tidak menjanjikan apa-apa.
Menurutnya, parti itu hanya pandai membuat janji kerana tahu tidak mampu memerintah dan sebaliknya berjuang hanya untuk kepentingan diri.
Sehubungan itu, katanya, golongan belia menolak parti itu dan memberikan sokongan padu kepada BN yang terbukti mampu melaksanakan program dan menyediakan prasarana untuk golongan itu.
|