|
18th July, 2012
TONGOD: Penduduk Kampung Bulot yang terletak kira-kira tiga kilometer daripada Pekan Tongod menyuarakan rasa kesal terhadap wakil rakyat kawasan mereka yang gagal memberi perhatian dan mengambil tindakan susulan untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh penduduk luar bandar.
Mereka mendakwa wakil rakyat telah gagal melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh kerajaan dan rakyat sekaligus memenuhi slogan kata Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak iaitu “Rakyat Di Dahulukan, Pencapaian Di Utamakan”.
Dua orang penduduk kampung berkenaan, Marjuni Omar dan Kopli Simunul, kedua-dua berusia 49 tahun dan bekerja sebagai petani berkata kemudahan infrastruktur asas termasuk jalan raya yang rosak ke kampung mereka tidak diberi perhatian oleh pihak-pihak yang berkenaan.
Penduduk kampung yang mempunyai kenderaan pacuan empat roda telah membawa wartawan New Sabah Times untuk melihat dan membuat liputan keadaan jalan raya rosak ke kampung mereka pada 14 Julai lalu.
Keadaan jalan raya yang rosak menuju ke Kampung Bulot sukar dilalui oleh kenderaan kecil, manakala sebuah jambatan semen yang merentasi anak parit berdekatan kampung tersebut hanya menanti masa untuk runtuh.
Marjuni dan Kopli memberitahu wartawan New Sabah Times keadaan jalan raya yang rosak itu telah berlanjutan sejak tahun lalu.
“Sudah sekian lama kami menghadapi masalah menghantar anak-anak kami ke sekolah serta perjalanan ulang alik ke pekan Tongod untuk membeli barang keperluan harian, keadaan akan menjadi lebih teruk apabila hujan turun kerana permukaan jalan raya yang rosak menjadi licin dan sukar dilalui walaupun menggunakan kenderaan pacuan empat roda,” kata mereka.
Menjawab soalan, mereka berkata wakil rakyat kawasan mereka tidak tahu masalah yang dihadapi penduduk kampung kerana tidak pernah melawat kampung mereka untuk mengetahui masalah berkenaan.
Walaupun penduduk kampung telah mengajukan masalah itu kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Telupid dan Pegawai Daerah Tongod sejak 2011, tidak ada tindakan susulan yang dilakukan untuk membaiki jalan raya tersebut.
“Kami kesal masalah itu berlanjutan sehingga hari ini termasuk jalan raya ke kampung jiran kami yang rosak teruk iaitu Kampung Melagatan yang terletak kira-kira 2 kilometer daripada Pekan Tongod,” tambah mereka.
Marjuni dan Kopli memberitahu mereka kesal atas sikap pemimpin rakyat dan beberapa individu yang hanya mementingkan kepentingan peribadi dan sikap mereka yang tidak prihatin terhadap masalah penduduk telah menggagalkan niat baik Norfaizah Chua, adik bongsu kepada wakil rakyat pertama Kuamut, Allahyarham Datuk Haji Abdul Malek Chua yang bercadang membaik pulih jalan tersebut.
“Niat baik Norfaizah untuk membaik pulih jalan raya ke kampung kami ditangguhkan kerana pihak berkenaan telah berjanji untuk membaik pulih jalan raya tersebut pada tahun lalu,” kata mereka.
Mereka mendakwa peruntukan untuk membina sebuah dewan di kampung mereka telah mendapat kelulusan daripada kerajaan sejak beberapa tahun lalu, namun hingga kini janji hanya tinggal janji dan dewan yang telah dijanjikan tidak kelihatan.
“Setiap kali kami mengadakan majlis perjumpaan anjuran kerajaan terpaksa menggunakan rumah penduduk kampung dan keadaan seperti ini separtutnya tidak wujud kerana kami yakin Kerajaan Malaysia mampu membina sebuah dewan di kampung kami,” tambah Marjuni dan Kopli.
|