|
18th July, 2012
TAWAU: Seorang guru didenda RM3500 atau lapan bulan penjara jika tidak bayar oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu mencedera dan mengugut isterinya.
Fadzil Hamdani, 35, didakwa melakukan kesalahan itu ke atas Rosziwati Ahmad, 35, di No 13 Felda Umas 04, Blok 6 pada pukul 10 malam, 26 Februari lepas.
Bagi pertuduhan pertama, Fadzil didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana telah menampar kedua-dua belah pipi isterinya tanpa sebab sehingga mendatangkan kecederaan.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman sampai setahun penjara atau dengan denda yang boleh sampai kedua-duannya.
Sementara bagi pertuduhan kedua, Fadzil didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan mengancam mendatangkan kematian dengan niat.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Mengiku fakta kes, selepas tertuduh menampar isterinya tanpa sebab, tertuduh telah mengeluarkan kata-kata ugutan akan membunuhnya, anak-anak mereka dan juga ayah tertuduh.
Isterinya yang berasa cemas dengan ugutan itu telah mengambil tindakan melaporkan kepada polis dan menyatakan bahawa tertuduh selalu memukul anak mereka serta mempercayai bahawa tertuduh adalah seorang penagih dadah.
Bagi pertuduhan pertama, dia didenda RM1000 atau tiga bulan penjara jika tidak bayar manakala pertuduhan kedua tertuduh didenda RM2500 atau lima bulan penjara.
Kes pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Joan Lee di hadapan Majistret Suhaila Selag.
|