|
18th July, 2012
KOTA KINABALU: Kerajaan komited mengurangkan kadar kemiskinan di negeri ini, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr.Ewon Ebin.
Beliau berkata, ini terbukti dengan penurunan kadar kemiskinan daripada 24.2 peratus pada tahun 2004 kepada 19.7 peratus pada tahun 2009.
Selain itu katanya paras kemiskinan di beberapa bahagian di Sabah juga berjaya diturunkan khususnya di bahagian Pantai Barat dan Pedalaman iaitu daripada 14.1 peratus kepada 8.0 peratus di Pantai Barat dan daripada 29.0 peratus kepada 15.8 peratus di Pedalaman.
“Kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah untuk mencapai objektif membasmi kemiskinan di negeri ini khu- susnya mensifarkan kemiskinan tegar.
“Bagi tujuan itu, kerajaan negeri dan persekutuan melaksanakan pogram-program seperti MESEJ, Agropolitan, Program 1Azam, Program Peningkatan Ekonomi Setempat (PPES), Ladang Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) dan Program Bantuan Rumah bagi meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup golongan sasar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sindumin Ahmad Bujang pada sesi soal jawab, persidangan dewan undangan negeri, di sini, kelmarin.
Ewon berkata, di samping itu, usaha meningkatkan kualiti hidup penduduk luar bandar juga dilipatgandakan melalui program Bekalan Air Luar Bandar dan Bekalan Elektrik Luar Bandar di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Infrastruktur Asas Luar Bandar.
Katanya, projek Ladang PPRT Kalabakan dan Ladang PPRT Tongod telah mengeluarkan hasil. Seramai 1,167 peserta ladang tersebut kini menerima dividen RM400 sebulan.
“Kerajaan negeri telah mengenalpasti satu lagi kawasan di bahagian Pedalaman untuk dibangunkan sebagai Ladang PPRT tertakluk kepada hasil kajian yang sedang dijakankan,” katanya.
Beliau berkata, kementeriannya kini sedang melaksanakan 44 buah projek MESEJ di seluruh negeri merangkumi 29 buah MESEJ Pertanian, enam MESEJ Akuakultur, dua MESEJ Bersepadu dan tujuh MESEJ Mikro.
“MESEJ Sg.Laba, Pulau Sebatik Tawau, MESEJ Bunang Sook Keningau dan MESEJ Lanung Tongod telah siap sepenuhnya dan diduduki oleh para peserta program,” katanya.
Ewon berkata, MESEJ-MESEJ Akuakultur Nala, Tungku Lahad Datu, Pangi Kudat, Lok Buntun dan Gelam Gelam, Semporna, Kg. Bahanan, Pulau Jambongan, Beluran dan Panimbawan Tuaran berjaya meningkatkan pendapatan peserta melepasi garis kemiskinan tegar di samping meningkatkan kualiti hidup melalui perumahan dan ameniti sosial yang lain.
“Pada keseluruhannya kesemua projek MESEJ apabila siap sepenuhnya akan berupaya melibatkan lebih 1,700 Ketua Isi Rumah Miskin Tegar,” katanya.
Katanya, Projek Agropolitan di bawah Koridor Pembangunan Negeri Sabah iaitu di Tongod, Kota Belud, Pitas, Kemabong dan Beluran kini dalam pelbagai tahap pelaksanaan.
“Agropolitan Pulau Banggi yang sedang dalam pelaksanaan oleh Felcra dijangka melibatkan 450 peserta miskin tegar apabila siap sepenuhnya,” kata- nya.
Ewon berkata, sejumlah 6,549 buah rumah bina baru dijangka siap akhir bulan ini, di bawah Program Bantuan Rumah Kerajaan Persekutuan yang dilaksanakan oleh pejabat-pejabat daerah seluruh negeri.
Sementara itu, ketika menjawab soalan Adun Likas Datuk Liew Teck Chan mengenai pembinaan jambatan gantung menyeberangi Sungai Inanam di Kg.Kionsom dan pembinaan jambatan gantung di lain-lain kampung di negeri ini, Ewon berkata, jambatan gantung menyeberangi Sungai Inanam telah siap dibaiki pada 8 Jun lalu melalui peruntukan khas Adun setempat.
“Pembinaan dan pembaikan jambatan gantung di merata daerah di negeri ini bergantung kepada permohonan dari semasa ke semasa daripada pejabat-pejabat daerah berkenaan di mana ia sentiasa diberi keutamaan oleh kementerian saya,” katanya.
|