|
17th July, 2012
TAMBUNAN: Profesion guru harus diterap dan diserap ke segenap tubuh badan seorang pendidik supaya amanah sebagai seorang guru dapat dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab.
Pengarah Pelajaran Sabah Datuk Dr. Haji Muhiddin Yusin berkata, bersesuaian dengan tema hari pada tahun ini ‘Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara’ maka seiring dengan itu, para guru harus bersedia dari segi mental dan fizikal untuk berhadapan dengan era transformasi ini yang lebih mencabar.
Katanya, cabaran adalah melalui liku-liku transformasi, di bahu dan pundak para guru, terpikul beban yang sangat besar untuk memastikan kualiti pendidikan dapat dilonjakkan.
“Di celah-celah kepesatan era transformasi, di situlah para guru memastikan pendidikan ditegakkan sekaligus dapat melahirkan modal insan yang sama-sama memacu pembangunan negara kelak,” katanya semasa berucap merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Tambunan 2012 yang berlangsung di Dewan Masyarakat di sini kelmarin.
Belia berkata, tugas utama guru ialah memberi pendidikan sempurna dan sama rata tanpa mengira status dan sosial.
Katanya, Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi akses pendidikan telah bermula tiga tahun yang lalu telah menampakkan hasil yang membanggakan, banyak perluasan telah dilaksanakan seperti perluasan pra sekolah, penguasaan literasi dan numerasi (LINUS) dalam kalangan murid tahap 1 juga telah menampakkan hasil yang memuaskan.
“Begitu juga peningkatan sekolah yang menerima insentif Tawaran Baru new deals telah bertambah saban tahun. Syabas dan tahniah kepada para guru yang menjadi tunjang kepada kecemerlangan ini,” katanya.
Pengarah Pelajaran Sabah itu berkata, zaman teknologi maklumat telah hampir sebati dalam kehidupan manusia, seiring dengan kepesatan teknologi maklumat, seharusnya para guru juga dapat membudayakan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran yang dapat mengajak dan membudayakan pemikiran yang kritis.
Jelasnya, inovasi tidak semestinya dapat mencipta penemuan-penemuan baharu dalam pengajaran dan pembelajaran, akan tetapi berinovasi bagaimana pengajaran berlaku dan pembelajaran lebih berlaku.
Para guru katanya, tidak hanya terikat kepada satu-satu kaedah penyampaian, akan tetapi sentiasa mencari pendekatan dan strategi pengajaran yang berkesan supaya objektif pengajaran itu tercapai.
“Apabila ini berlaku, maka di sinilah nikmat pendidikan dapat dirasai oleh anak-anak murid,” tambahnya.
Dalam masa yang sama katanya, para guru bukan sahaja menekan aspek akademik dan kokurikulum semata-mata akan tetapi sentiasa juga berusaha untuk membangunkan modal insan dengan memberi tumpuan kepada sistem nilai iaitu aspek disiplin, sahsiah, akhlak dan jati diri para pelajar.
Katanya, guru-guru memainkan peranan yang signifikan kepada pembinaan dan pembangunan sahsiah dan peribadi murid-murid.
Malah katanya, dengan perkembangan semasa terdapat beberapa gejala yang berlaku sekolah, dipikul oleh guru dengan rasa penuh tanggungjawab bertepatan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menuntut agar para guru dapat melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Beliau berkata, usaha melahirkan modal insan yang sempurna, bukanlah suatu usaha yang mudah dan boleh di pandang remeh kerana ia memerlukan ilmu dan kemahiran yang tinggi.
|