|
17th July, 2012
LAHAD DATU: Seorang lelaki warga asing dihukum penjara selama lima tahun oleh Mahkamah majistret Lahad Datu kelmarin, atas kesalahan melakukan pecah rumah dan mencuri sebuah mesin generator bernilai RM150, milik seorang lelaki di sini, pada Mac lalu.
Hakim, Rajalingam Al. S.S. Maniam menjatuhkan hukuman itu terhadap Meme Julpakar,28, yang kini sedang menjalani tempoh hukuman penjara atas kesalahan Imigresen, selepas berpuas hati dengan keterangan yang diketengahkan oleh pihak pendakwaan.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah didapati melakukan kesalahan tersebut pada 7 Mac lalu, kira-kira jam 6 pagi, di sebuah kedai syarikat yang terletak di Bandar Wilayah Lahad Datu.
Sementara itu, hakim mengarahkan hukuman penjara terhadap tertuduh berkuatkuasa serentak dengan hukuman yang sedang dijalaninya sekarang dan turut diperintahkan agar dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani tempoh hukuman penjaranya.
Pendakwaan dikendalikan oleh pihak pendakwa, Inspektor Mohamad Soffi Jalal.
|