|
17th July, 2012
KOTA KINABALU: Komoditi perikanan di Sabah mempunyai potensi besar di pasaran antarabangsa, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin.
Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan ber- kata, antara produk yang boleh diketengahkan ialah produk rumpai laut jenis serbuk carragenan, ikan laut hidup dan makanan laut.
“Bagi ikan hidup, pasaran adalah negara China dan Hong Kong dengan anggaran eksport bernilai RM35 juta pada tahun 2013. Manakala bagi serbuk carragenan pula, pasaran utama adalah negara China dan dianggarkan pasaran bernilai RM30 juta.
“Pasaran di Kesatuan Eropah (EU) bagi makanan laut seperti ikan, sotong, udang dan lain-lain dianggarkan sebanyak RM22 juta setahun dan produk perlu memenuhi standart EU,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Luyang) Melanie Chia Chui Ket, pada sesi soal jawab persidangan dewan undangan negeri, di Dewan Undangan Negeri, di sini, kelmarin.
Yahya berkata, bagi perusahaan hiliran hasil perikanan, produk-produk seperti amplang, bilis, ikan masin, keropok dan kek serta bebola ikan/ sotong/ udang merupakan antara produk yang dikenalpasti telah berjaya.
“Memandangkan sambutan pasaran global produk-produk seperti rumpai laut, ikan dan produk ikan (beku/ hidup) dan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) berasaskan perikanan, ia dilihat berpotensi sebagai industri komersil bertaraf global,” katanya.
Beliau berkata, tanaman sawit juga adalah antara industri yang unggul dan utama di negeri ini kerana selain menyumbang pulangan pendapatan yang besar kepada negeri Sabah, ia kini bertaraf komersil dan global.
“Misalnya pada tahun lalu jumlah eksport minyak sawit mentah (CPO) berjumlah 1.22 juta tan dengan nilai RM3.85 billion.
“Selain dieksport ke Brunei Darussalam, sejumlah 512 tan dengan nilai RM1.85 juta telah dieksport ke Indonesia pada hujung tahun lalu,” katanya.
Yahya berkata, produk pertanian di negeri ini yang sudah berjaya ialah Teh Sabah, Kopi Tenom, buah Pomelo Tenom, sayur tanah tinggi Kundasang dan Salak Sandakan.
“Produk-produk tanaman minuman seperti Kopi Tenom dan Teh Sabah yang kini berjaya menembusi pasaran peringkat nasional juga berpotensi dikembangkan sehingga ke peringkat global,” katanya.
Katanya, produk-produk itu telah mendapat pengiktirafan produk berkualiti dengan memperolehi Sijil Akrediatasi Ladang Malaysia.
“Cendawan Shiitake keluaran Koperasi Pembangunan Desa (KPD) yang dihasilkan secara lestari dan mesra alam juga telah mendapat pengiktirafan Skim Organik Malaysia dan Malaysia’s Best,” katanya.
Selain itu katanya, produk lain yang berpotensi untuk dipasarkan di peringkat lebih tinggi ialah lebah madu, kuih cincin, keropok amplang, kerepek pisang sekaki dan minyak kelapa dara.
Sementara itu Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Bobey Suan berkata, setakat tahun 2011 seluas 1.2 juta hektar daripada sejumlah 1.4 juta di negeri ini adalah tanaman Sawit yang matang.
“Dianggarkan ia telah mengeluarkan sejumlah 28.43 juta tan buah tandan yang diproes kepada 8.4 juta pelbagai produk sawit dan daripada jumlah itu, sebanyak 7.1 juta telah dieksport dengan nilai RM22.17 bilion.
“Jumlah hasil yang diterima oleh kerajaan negeri berdasarkan kutipan cukai jualan negeri CPO ialah RM1,362,318,910.56,” katanya ketika menjawab soalan Adun Likas Datuk Liew Teck Chan.
|