|
13th July, 2012
MIRI: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bercadang menaik taraf pusat maklumat di Sarawak dan Sabah kepada pejabat cawangan tidak lama lagi.
Pengurus Kanan PTPTN Tuan Din Tuan Mat berkata proses naik taraf akan dilaksanakan tidak lama lagi dan kedua-dua pejabat tersebut bakal beroperasi di Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah pada penghujung tahun ini.
“Kemudahan ini membolehkan masyarakat kedua-dua negeri ini untuk melakukan pelbagai urusan berkaitan tanpa perlu pergi ke Semenanjung,” katanya kepada Bernama di sini kelmarin.
Terdahulu Tuan Mat memberi taklimat isu semasa PTPTN kepada warga Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) di sini anjuran Bahagian Pengurusan dan Analisis Maklumat dan jawatankuasa penyelaras KPKK.
Katanya PTPTN bercadang memperluaskan operasi di Sarawak dan Sabah dengan membuka empat lagi cawangan, dua di Sarawak dan dua di Sabah.
“Di Sarawak lokasi dikenal pasti ialah di Sibu dan Miri manakala di Sabah ialah di Sandakan dan Tawau,” katanya sambil menambah tempoh masa bila ia akan dibuka belum dapat dipastikan lagi.
Tuan Mat berkata PTPTN kini dalam proses meningkatkan tahap kualiti perkhidmatan untuk proses pembayaran balik pinjaman PTPTN bagi peminjam yang ingin melunaskan bayaran dengan membuat pengeluaran melalui skim Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP).
“Perbincangan kini sedang dijalankan dengan Kementerian Kewangan dan kita cuba mencari jalan penyelesaian secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata peminjam yang menghadapi masalah untuk membayar balik pinjaman supaya jangan berdiam diri tetapi perlu menghubungi PTPTN untuk menyelesaikan masalah dengan mencari kaedah pembayaran yang sesuai dan mampu ditanggung oleh peminjam.
|