|
13th July, 2012
TENOM: Interaksi yang terhad dan kegagalan dalam mengenali diri sendiri dan anak-anak sering menyebabkan berlakunya konflik di antara ibu bapa dan anak-anak.
Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggie, berkata ramai ibu bapa yang tidak menyedari bahawa masa yang mereka luangkan untuk anak-anak sebenarnya sangat singkat.
Beliau berkata, dalam kajian ke atas 10,000 ibu bapa termasuk di Malaysia sejak tahun 1990, masa yang diluangkan oleh ibu (suri rumah) untuk benar-benar bercakap dengan anak hanyalah lima minit sehari manakala masa yang diambil oleh bapa di Malaysia hanyalah dua minit sehari.
“Tanpa disedari juga, ramai ibu bapa hari ini ‘merelakan’ anak-anak mereka membesar dengan pembantu rumah.
“Kebanyakan pembantu rumah menjadi ‘dunia’ kepada anak-anak kita lebih memahami emosi mereka. Malah, ada ibu bapa tidak tahu mengenai pengalaman baru yang dilalui di sekolah atau pusat penjagaan anak-anak.
“Inilah yang menjadi punca layanan yang tidak wajar dan interaksi hambar dalam hubungan kekeluargaan,” katanya ketika merasmikan Program Motivasi Keibubapaan anjuran Biro Pendidikan Puspanita Cawangan Daerah Tenom, di Dewan Seri Panglima Antanom, pada Rabu lalu.
Raime berkata, kanak-kanak tidak pandai menggambarkan emosi mereka dengan kata-kata tetapi ia boleh di lihat dengan jelas melalui perubahan riak muka dan perlakuan.
“Namun jika ibu bapa tidak rapat dengan anak-anak, mereka mungkin tidak akan dapat mengesan perubahan ini.
“Sebagai ibu bapa inilah tugas hakiki kita untuk mengenali hati budi setiap anak yang dikurniakan sebelum ‘menghukum atau membahagikan’ kasih sayang dan perhatian,” katanya.
Beliau juga berkata, melalui program seperti ini, ibu bapa mendapat panduan komunikasi yang berkesan untuk anak-anak berpandukan jenis personaliti dan membantu ibu bapa dalam menangani masalah lazim yang dihadapi oleh anak-anak seperti kurang motivasi, kurang daya tumpuan, kurang minat belajar, kurang kemahiran sosial dan sebagainya.
“Semoga program motivasi ini akan dapat memberikan manfaat kepada semua golongan ibu bapa dalam mendidik anak-anak dan mewujudkan hubungan kekeluargaan yang lebih baik,” katanya.
|