|
13th July, 2012
KOTA KINABALU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara empat tahun dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini kerana mencuri dan memiliki barang-barang curi.
Maxon Julian,33, mengaku bersalah terhadap perbuatan itu apabila dakwaan dibacakan ke atasnya di hadapan Majistret Herlina Muse.
Dakwaan pertama, Maxon dijatuhi hukuman penjara dua tahun kerana mencuri kereta milik seorang lelaki pada 21 Jun kira-kira jam 1 pagi di tempat letak kereta di Bandar Sierra, Menggatal, Tuaran.
Kesalahan ini di bawah Seksyen 379A Kanun Kesiksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Maxon menerima hukuman setahun lagi penjara kerana memiliki motosikal curi Yamaha 125ZR kepunyaan seorang lelaki berusia 32 tahun pada 21 Jun kira-kira jam 11.50 malam di sebuah rumah tidak bernombor di Kg. Bambangan, Inanam.
Sementara itu, kerana memiliki kereta curi jenis Toyota Avanza, Maxon dijatuhi hukuman 14 bulan penjara lagi. Dia melakukan kesalahan itu pada 18 Jan kira-kira jam 5 petang di hadapan sebuah masjid di Luyang.
Kedua-dua dakwaan itu di bawah Seksyen 411 Kanun Kesiksaan yang boleh membawa hukuman penjara yang boleh dilanjutkan hingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Dalam rayuannya beliau meminta hukuman diringankan kerana memberikan kerjasama kepada pihak polis dan memulangkan barang-barang curi itu kepada pemiliknya.
Bagaimanapun pegawai pendakwa Insp Syahrin Ali meminta mahkamah mengenakan hukuman berat kerana tertuduh mempunyai kesalahan sebelum ini.
Sementara itu, di mahkamah yang sama seorang penganggur dijatuhi hukuman 16 bulan kerana mencuri motosikal.
Herlina menjatuhkan hukuman itu ke atas Aparon Julian, 25, selepas dia mengaku bersalah terhadap perbuatan itu.
Aparon adik kepada Maxon mengaku mencuri motosikal 125ZR kepunyaan seorang lelaki berumur 32 tahun pada 21 Jun kira-kira jam 3 pagi di Taman Jindo, Luyang.
Kesalahan ini di bawah Seksyen 379A yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, Aparon juga mengaku bersalah kerana mengambil dadah jenis syabu tetapi mahkamah menetapkan 9 Ogos untuk menyebut semula kesnya.
Aparon diuji positif mengambil syabu di Ibu Pejabat Polis Kota Kinabalu pada 30 Sept lalu kira-kira jam 2 petang.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, Apron didakwa merompak seorang doktor berumur 30 tahun pada 22 Mac kira-kira jam 11.25 malam di sebuah kedai di Damai Luyang.
Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Amir Shah Amir Hassan, diberitahu Aparon bersama dua orang yang masih bebas merompak telefon bimbit Samsung Galaxy dan wang tunai RM2,000 yang kesemuanya bernilai RM3,500 milik doktor berkenaan.
Dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh didenda dan rotan jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 395 Kanun Kesiksaan.
Mahkamah menetapkan 18 dan 19 Sept depan untuk mendengar kes ini dan TPP Wan Aiman Azwan Wan bertindak sebagai pendakwa.
|