|
6th July, 2012
KOTA KINABALU: Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) Sabah berjaya mengesan sebanyak 63 majikan yang gagal mendaftar pekerja mereka.
“Jumlah itu adalah dari 323 majikan yang dilawati oleh pertubuhan itu di seluruh Sabah sehingga Rabu sempena program ‘Ops Mesra Majikan dan Pekerja’, kata Timbalan Pengarah 2 Perkeso, Clarice Claire Geoffrey.
Beliau berkata Program ‘Ops Mesra Majikan dan Pekerja’ telah diadakan serentak di seluruh negeri Sabah iaitu Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Lahad Datu, Keningau dan Labuan.
Dari jumlah itu katanya Kota Kinabalu mencatakan sebanyak 23 kes, Tawau 9 kes, Sandakan 6 kes, Lahad Datu s 4 kes, Keningau 15 kes sementara Labuan 11 kes.
“Berdasarkan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, majikan itu boleh dikenakan denda atau penjara atau kedua-duanya sekali,” kata Clarice selaku Ketua Penguatkuasa bagi program itu dalam taklimatnya kepada media kelmarin.
Beliau berkata bilangan majikan yang tidak layak mendaftar dengan Perkeso adalah 93 kes.
“Majikan yang tidak layak mendaftar ini kerana para pekerja mereka itu bukan berstatus warganegara Malaysia,” ujar Clarice lagi.
Sementara iru, bilangan majikan yang berdaftar selepas program pengesanan itu pula sebanyak 19 kes yang mana majikan-majikan berkenaan telah sedar peranan mereka melalui program ini.
“Bagi bilangan majikan yang berdaftar selepas program ini pula hanya di empat kawasan iaitu, Kota Kinabalu sebanyak 13 kes, Sandakan (2 kes), Lahad Datu (2 kes) dan Labuan juga sebanyak 2 kes,” tambahnya
Beliau juga berkata sebanyak 165 kes dalam bilangan majikan yang berdaftar berjaya dikesan.
Selain itu, terdapat 56 bilangan kompaun yang telah ditawarkan kepada majikan-majikan yang dikesan dan jumlah kompaun yang ditawarkan pula adalah sejumlah RM35,500.
“Berdasarkan 56 kompaun yang ditawarkan kepada majikan-majikan itu sebanyak RM35,500 amaun kompaun yang terkumpul untuk lima kawasan tertentu kecuali Sandakan yang tiada sebarang kompaun.
“Perkeso juga telah berjaya mengutip sebanyak RM125 kompaun dari kawasan Lahad Datu pada program ops itu,” kata Clarice.
Clarice juga menyatakan ‘Ops Mesra Majikan dan Pekerja’ kali ini merupakan kali kedua yang diadakan tahun ini. Ops pertama telah diadakan pada 7 Mac 2012.
|