|
3rd July, 2012
KENINGAU: Golongan belia terutama pelajar perlu bersedia menghadapi kepesatan pembangunan.
Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Keningau Azman Haji Ruslan berkata, apabila pembangunan pesat berlaku dalam sesebuah daerah atau bandar ia akan memberi dua impak iaitu positif dan negatif.
Katanya, dalam situasi yang sedemikian golongan belia yang bakal menjadi pelapis kepimpinan negara pada masa akan datang perlu berhati-hati menghadapi impak pembangunan.
“Impak yang positif adalah yang membawa kepada pembangunan modal insan iaitu yang membangun dan membentuk jati diri golongan belia supaya dapat mengharungi cabaran-cabaran hidup dalam arus pembangunan,” katanya, semasa berucap merasmikan Program Aman Kampus Di Bawah Bayu Peringkat Daerah Keningau di Dewan Super Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keningau II di sini kelmarin.
Azman berkata, jika kepesatan pembangunan dimanfaatkan dalam kehidupan golongan belia ia akan memberi impak yang positif kepada generasi muda.
Tetapi katanya, jika ia tidak dimanfaatkan dalam kehidupan golongan belia, ia akan memberi impak yang negatif kerana di tengah-tengah arus pembangunan akan datang perkara-perkara yang negatif yang membabitkan gejala sosial yang kurang sihat seperti penyeludupan masuk dadah dan hal-hal yang meruntuhkan akhlak.
Justeru itu katanya, golongan belia khususnya pelajar perlu menghindarkan diri dari ancaman berkenaan kerana ia akan merosakkan masa depan mereka.
Mengenai dengan Program Aman Kampus Azman berkata, ia memberi impak yang positif kepada golongan belia khususnya bagi pelajar-pelajar yang mengikuti program berkenaan.
Hadir sama Presiden Aman Kampus Mohd. Shahar Abdullah, Pengetua SMK Keningau II Joanes Onson, Yang Dipertua PIBG SMK Keningau II Harry Gitik dan Guru-Guru Penolong Kanan sekolah itu.
|