|
3rd July, 2012
TENOM: Masyarakat di kawasan pedalaman dinasihatkan supaya tidak mudah menerima sebarang hasutan yang dibawa oleh pihak pembangkang, kata Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggie.
Pihak pembangkang katanya, sanggup menyebarkan pelbagai dakyah untuk mengeliru dan mempengaruhi pemikiran rakyat.
“Lihat saja isu mengenai kapal selam negara yang didakwa pembangkang kononnya tidak boleh menyelam sehingga ke dasar laut.
“Kapal selam ini sebenarnya mempunyai sebab-sebab tertentu mengapa ia tidak menyelam bukannya kerana tidak boleh menyelam.
“Pihak pembangkang seolah-olah terdesak dalam usaha mereka untuk mempengaruhi dan mengaburi pemikiran rakyat sehingga sanggup menimbulkan sesuatu fakta yang tidak benar.
“Justeru, saya ingin masyarakat berhati-hati dalam menerima sesuatu maklumat dan teruslah menyokong kerajaan kita berbanding pihak pembangkang yang hanya tahu mengelirukan pemikiran rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Penutupan Program 1Azam Kursus Penyajian Makanan dan Katering anjuran Kerajaan Negeri dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sabah (Sedco) di Hotel Perkasa, pada Ahad lalu.
Beliau menambah, kerajaan akan sentiasa membantu masyarakat seperti kursus-kursus yang diberikan melalui badan-badan kerajaan bagi membantu masyarakat menceburi sesuatu bidang dalam keusahawanan bagi meningkatkan ekonomi masyarakat.
Sementara itu, Pengurus Sedcovest Holdings Sdn. Bhd, Jusli Potoh, pula berkata Sedcovest adalah anak syarikat milik penuh Sedco, yang diberi tanggungjawab dan amanah untuk mewujudkan dan meningkatkan pembangunan masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputera (MPPB).
“Selain daripada menganjurkan kursus dan latihan, Sedcovest juga terlibat dalam membangunkan premis-premis perniagaan seperti pejabat perniagaan, gerai perniagaan, kiosk, ruang tapak tamu, arked perniagaan dan premis industri ringan.
“Namun masalah utama yang kami hadapi ialah kekurangan sumber kewangan untuk melaksanakan program-program secara menyeluruh disebabkan banyak permintaan untuk mengadakan kursus, latihan dan permintaan mendirikan premis-premis perniagaan ini.
“Justeru, diharapkan Kerajaan Negeri dapat meningkatkan peruntukan-peruntukan di masa depan,” katanya.
Kursus selama lima hari itu berakhir pada 1 Julai dan disertai seramai 40 peserta dibawah Program 1Azam dalam Sistem eKasih.
|