|
24th June, 2012
SANDAKAN: Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (PERKASA) ditubuhkan adalah bagi melindungi hak-hak dan keistimewaan orang Melayu dan masyarakat Pribumi di negara ini selain turut memperjuangkan serta mempertahankan institusi raja serta kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara.
Ketua Penerangan PERKASA Negeri Sabah, Syed Kamalrul Suffian, berkata PERKASA ialah satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berasaskan kepada kemelayuan tanpa mengira fahaman politik.
“Paling penting untuk diperingatkan bahawa PERKASA bukan pelampau ekstrem. Ia ditubuhkan adalah bertujuan memperjuangkan dan mempertahankan hak-hak orang Melayu dan masyarakat Pribumi, oleh itu kita digalakkan untuk menyertai pertubuhan ini demi manfaat jangka panjang,” katanya kepada pemberita di sini, kelmarin.
Sehubungan dengan itu, katanya, PERKASA akan memainkan peranan penting seperti memantau, menyuara, mendesak dan memastikan masyarakat bumiputera di negeri Sabah tidak ketinggalan dalam arus pembangunan ekonomi negeri.
Menurut beliau, PERKASA bukanlah parti politik di mana ia tidak berpihak kepada mana-mana parti politik kerana matlamatnya antara lain hanya memantau kerajaan yang memerintah supaya agenda atau dasar-dasarnya tidak merugikan bumiputera.
“PERKASA dalam perjuangannya juga akan terus kecam mana-mana pihak yang mempersoalkan hak kepentingan bumiputera dan menolak parti-parti yang cuba menghapuskan hak-hak keistimewaan kaum bumiputera terutamanya di negeri ini.
“PERKASA Sabah akan berusaha sedaya mungkin untuk menjadi contoh kepada negeri lain dalam memperkasakan ke arah penyatuan kaum bumiputera yang pelbagai etnik. Kita mengalu-alukan masyarakat bumiputera supaya menjadi ahli kepada pertubuhan ini demi menjaga dan melindungi hak-hak masyarakat bumiputera khususnya,” kata Syed Kamalrul yang baru dilantik sebagai Ketua Penerangan PERKASA Negeri berkuatkuasa baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya merancang untuk mengadakan beberapa siri jelajah ke seluruh pelosok daerah Sandakan untuk memberikan taklimat berhubung matlamat dan halatuju penubuhan PERKASA.
Syed Kamalrul berharap siri jelajah mencapai objektifnya kerana sudah tiba masa bagi masyarakat bumiputera menyertai pertubuhan yang mampu mempertahankan segala hak dan keistimewaan mereka.
“Kita akan beri taklimat yang sebaik mungkin. PERKASA adalah untuk kepentingan orang Melayu dan masyarakat bumiputera sebenarnya,” ujar beliau.
|