|
24th June, 2012
TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar 1920 kilogram gula pasir dan 680 kilogram minyak masak dari negara ini ke Indonesia, kelmarin.
Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah, Komander Maritim Azman Samsudin berkata, kejayaan itu dicapai hasil pemeriksaan ke atas sebuah bot jongkong di Perairan Tawau.
Dipercayai katanya, bot tersebut sedang menuju ke kawasan Sungai Haji Kuning, Sebatik Indonesia.
Dalam pemeriksaan itu ujarnya, pihaknya turut menahan dua orang iaitu seorang lelaki yang menjadi juragan bot, 20, dan seorang wanita, 46, yang memegang pas lintas batas, tetapi tidak menggunakan pintu keluar yang sah.
Kesemua barang rampasan tersebut katanya dibawa balik ke pejabat APMM Daerah Tawau untuk siasatan lanjut.
Azman turut meminta orang awam yang mengetahui tentang sebarang aktiviti penyeludupan agar menyalurkan maklumat kepada pihaknya menerusi talian 089-750115 yang beroperasi selama 24 jam.
|